LAHAD DATU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dun N.62 Silam, Datuk Mizma Appehdullah menegaskan bahawa integriti dan ketelusan akan menjadi landasan utama kepimpinannya sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat.
Beliau berkata fokus terhadap pentadbiran yang telus penting bagi mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap hala tuju pembangunan kawasan.
Mizma menjelaskan bahawa masyarakat juga akan dilibatkan dalam perancangan setempat yang akan membantu masyarakat menilai keberkesanan tindakan kerajaan selepas Pilihan Raya.
“Pembangunan kawasan dan masyarakat akan terus menjadi keutamaan dalam usaha saya memajukan Silam. Saya akan berusaha agar masyarakat mempunyai akses lebih mudah kepada pelbagai inisiatif kerajaan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara lebih meluas,” katanya.
Menurut Mizma, beliau juga akan memperkasakan ekonomi selain memberi perhatian terhadap penyelesaian masalah seperti banjir kilat, bekalan air dan bekalan elektrik.
Katanya, peluang pendidikan, latihan kemahiran, bimbingan kerjaya serta sokongan kepada usahawan muda juga akan diperluas sebagai usaha membangun kawasan dan masyarakat.
Jelasnya, komitmen berterusan GRS dalam menawarkan perancangan yang realistik dan seimbang telah terbukti dan beliau mahu ianya turut dirasai masyarakat Silam.
Justeru itu, beliau berharap agar masyarakat Silam menyokong dan memilih beliau sebagai wakil rakyat agar dapat bersama-sama membangun kawasan ini.
-Tamat-
