KOTA KINABALU: Terima kasih atas mandat ini. Kemenangan ini adalah kemenangan rakyat, kemenangan yang mencerminkan keyakinan anda terhadap perjuangan dan visi yang dibawa oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Ia adalah milik setiap insan yang percaya kepada usaha bersama untuk masa depan Sabah yang lebih cerah, kata Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata dengan penuh kesyukuran, amanah dan kepercayaan yang diberikan rakyat kepada GRS untuk terus memimpin menjadi dorongan utama dalam meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat. Menurutnya, sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi serta keyakinan mereka terhadap agenda perjuangan GRS menjadi pemacu kepada kejayaan yang dicapai pada pilihan raya kali ini.
Hajiji menegaskan bahawa kemenangan ini harus diraikan sebagai permulaan sebuah fasa baharu yang berteraskan semangat perpaduan, tekad yang diperbaharui serta iltizam untuk membangunkan Sabah dengan lebih inklusif dan mampan. Sejak awal, jelasnya, komitmen GRS berpaksikan kepada agenda pembangunan holistik dan inklusif menerusi pelan “Hala Tuju Sabah Maju Jaya” (SMJ).
Beliau berkata GRS akan terus memacu kesinambungan SMJ 2.0 yang memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu Sabah Diutamakan, Sabah Maju, Sabah Sejahtera dan Sabah Bersatu. Pendekatan ini, katanya, bukan sahaja menggerakkan pembangunan yang bermakna, malah membina jambatan perpaduan merentas pelbagai lapisan masyarakat.
Hajiji turut menzahirkan komitmen GRS untuk bekerja tanpa henti demi memperjuangkan harapan dan aspirasi rakyat Sabah. Katanya, rakyat adalah rakan kongsi penting dalam perjalanan kemajuan negeri dan setiap suara, walau sekecil mana sekali pun, akan terus didengar serta dihargai. Dengan semangat perpaduan sebagai tonggak utama, beliau menyeru agar semua pihak berganding bahu memastikan kemenangan ini benar-benar membawa manfaat kepada seluruh rakyat Sabah.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua calon dan parti lawan yang bertanding sepanjang proses pilihan raya. Menurutnya, demokrasi hanya dapat berkembang subur apabila semua pihak menghormati keputusan rakyat dan bersedia bekerjasama demi kesejahteraan negeri. Beliau menyeru agar semua pihak kembali merapatkan barisan serta menghayati semangat demokrasi dengan komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat secara kolektif dan bertanggungjawab.
Dengan tekad bersama, Hajiji optimis bahawa Sabah akan terus melangkah ke hadapan sebagai negeri yang makmur, bersatu dan berdaya saing.
