TAWAU: ADUN Tanjung Batu yang baharu, Dr Andi Mohd Shamsureezal Mohd Sainal, bertekad menunaikan janji dalam manifestonya dengan menubuhkan pasukan perubatan bergerak bagi membantu penduduk menerima rawatan lebih mudah dan cepat, terutama di kawasan pedalaman.
Menurut beliau, pasukan berkenaan akan melibatkan doktor, jururawat dan fisioterapi yang akan turun padang ke kampung serta kawasan luar bandar.
“Insya-Allah, pasukan ini akan mula beroperasi secepat mungkin. Pasukan asas sudah ada, cuma kami sedang perincikan beberapa perkara. Dalam sebulan atau dua lagi, ia dijangka boleh bermula,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan rasmi PRU Sabah.
Dr Andi berkata kemenangan yang diraih bukan sekadar sejarah merampas kerusi tradisi BN, malah menjadi tanda rakyat mahukan perubahan dan pembaharuan.
“Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi. Ini kali pertama Tanjung Batu dimenangi parti selain BN. Terima kasih kepada semua penduduk yang memberi kepercayaan kepada saya,” ujarnya.
Beliau menegaskan, lima tahun akan datang fokus utamanya ialah menunaikan amanah rakyat dan memastikan manifesto yang dibawa dapat dilaksanakan, termasuk dalam aspek pembangunan, kesihatan dan kebajikan masyarakat.
“Keperluan dan kebajikan penduduk Tanjung Batu menjadi keutamaan saya. Apa sahaja masalah yang timbul, saya akan cuba selesaikan sebaik mungkin,” katanya.
Inisiatif pasukan perubatan bergerak itu dijangka memberi manfaat besar kepada warga emas, pesakit terlantar dan penduduk yang tinggal jauh daripada fasiliti kesihatan, sekali gus melengkapkan usaha Dr Andi untuk membawa pembangunan lebih menyeluruh di Tanjung Batu.
