SEMPORNA: Dua lelaki ditahan dalam satu operasi bersepadu dilaksanakan oleh Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak di perairan utara Pulau Mataking susulan kegiatan penyeludupan minyak bersubsidi yang dikesan melalui risikan.
Batalion 22 PGA Kunak dalam kenyataan berkata penahanan itu dibuat ketika rondaan laut di bawah Op Taring ESSZONE dan Op Taring Bravo 1 pada 29 November lalu.
Ketika rondaan, pasukan menemui sebuah bot laju bergerak dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
Semasa menjalankan pemeriksaan, pasukan mengesan sebuah lagi bot laju berwarna kuning yang juga berada dalam keadaan mencurigakan.
Pemeriksaan terhadap kedua-dua bot itu membawa kepada penemuan 88 gelen putih setiap satunya mengandungi 25 liter berisi petrol bersubsidi.
Turut dirampas ialah dua enjin sangkut 75 kuasa kuda, dua bot laju serta dua bilah kipas propeller yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyeludupan ke negara jiran.
Kedua-dua lelaki berkenaan kemudian ditahan bersama semua barang rampasan sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Semporna untuk tindakan susulan.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM41,830 dan siasatan kes dibuat di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan membawa barang kawalan tanpa permit sah.
Batalion 22 PGA Kunak menegaskan komitmen mereka untuk mempertingkat risikan serta memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan integriti perairan Sabah terus terpelihara.
-Tamat-
