KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor optimis bahawa isu pembayaran geran khas 40 peratus hasil bersih oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sabah akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, hasil hubungan erat antara kedua-dua kerajaan.
Menurut beliau, hubungan rapat dan kukuh antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan adalah elemen penting dalam memastikan agenda pembangunan Sabah terus berjalan lancar.
“Kita percaya hubungan yang rapat dan kukuh bukan sahaja perlu, malah penting untuk memastikan kemajuan berterusan. Ini termasuk perkara berkaitan kedaulatan, keselamatan, perpaduan dan kenegaraan. Walaupun kita memperjuangkan hak-hak Sabah, kita tidak boleh lupa tanggungjawab kita untuk menjaga kepentingan negara,” katanya.
Hajiji berkata keyakinan itu turut merangkumi penyelesaian muktamad berhubung obligasi pembayaran hasil 40 peratus kepada Sabah.
“Saya yakin hubungan yang kukuh akan membawa banyak manfaat, termasuklah pemuktamadan obligasi Kerajaan Persekutuan berkaitan pembayaran hak hasil 40 peratus untuk Sabah, yang kita harap dapat dimuktamadkan tidak lama lagi demi kebaikan bersama,” katanya ketika berucap pada program Sentuhan Madani yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.
Ketua Menteri turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus mengangkat martabat Sabah dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan fokus utama kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 akan memacu pembangunan negeri mulai tahun depan, termasuk penubuhan tiga taman perindustrian baharu, iaitu Taman Perindustrian Industri Ekonomi Biru di Kudat, Taman Perindustrian Minyak dan Gas di Beaufort, serta Taman Perindustrian Teknologi Tinggi dan Semikonduktor di kawasan Kota Belud dan Kota Marudu.
Dalam usaha membantu rakyat, Hajiji turut mengumumkan penambahbaikan program kebajikan sosial, termasuk pembinaan 50 unit Rumah Mesra SMJ di setiap kawasan DUN bagi membantu golongan miskin dan miskin tegar. Selain itu, bantuan kewangan bulanan RM300 akan diberikan kepada 100,000 penerima tahun depan, manakala bantuan baharu untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas yang tiada pendapatan tetap turut diperkenalkan.
Insentif pembiayaan deposit rumah pertama juga akan dilancarkan sebagai usaha memudahkan golongan muda memiliki kediaman sendiri.
Dalam aspek infrastruktur, Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM1.2 bilion bagi menaik taraf sistem bekalan air dengan pelaksanaan projek secara berfasa bermula pertengahan tahun depan. Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan RM765 juta untuk menyiapkan Projek Sabah Southern Link, yang bakal menghubungkan grid elektrik Pantai Barat dan Pantai Timur bagi mengatasi isu gangguan bekalan elektrik.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan atas peranan penting mereka memastikan ketenteraman awam sepanjang pilihan raya negeri baru-baru ini.
