LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu menahan sebuah vesel pukat tunda yang didapati beroperasi dalam zon larangan perikanan di perairan Tabawan, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, penahanan dilakukan kira-kira jam 2.10 petang di kedudukan 0.9 batu nautika timur laut Pulau Batik oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Pluto Timur 2/2023 dan Op Tiris 3.0.
Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh tiga warga Indonesia berusia antara 30 hingga 46 tahun serta seorang kru tempatan berbangsa Bajau berusia 35 tahun.
“Hasil tangkapan ikan dianggarkan seberat 800 kilogram turut ditemukan dan semua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dzulfikhar berkata, pemeriksaan lanjut mengesahkan vesel tersebut melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 apabila didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan terdekat, iaitu kawasan yang dilarang untuk operasi perikanan komersial.
Beliau menjelaskan, peraturan menetapkan zon operasi bagi mengelakkan eksploitasi kawasan pantai serta memastikan kelestarian sumber perikanan.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha bot yang melanggar syarat lesen, khususnya di kawasan larangan,” tegasnya.
Vesel, kru serta hasil tangkapan kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang laut dan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016-930 5727 atau talian kecemasan 999.
