RANAU: Tiga individu terbabit dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah van jenis Vannate dengan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Jalan Ranau–Kundasang berhampiran SK Kundasang, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.43 pagi itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum mengerahkan satu jentera FRT dan satu unit EMRS dengan kekuatan lima anggota. Pasukan tiba di lokasi hanya dua minit kemudian pada jam 11.45 pagi.
Menurut Komander Operasi, PBK II New Mond None@Paulus, kemalangan berlaku apabila kedua-dua kenderaan bertembung sehingga menyebabkan pemandu van lelaki berusia 39 tahun tersepit. Anggota bomba mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak Polis berikutan tindakan agresif mangsa terhadap pasukan penyelamat.
Seorang pesakit yang berada dalam ambulans pula berjaya dikeluarkan anggota bomba dan seterusnya dibawa ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan susulan. Pemandu ambulans tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, pihak bomba memaklumkan tiada maklumat lengkap mengenai status mangsa lain daripada ambulans KKM setakat ini. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.09 tengah hari.
