SEMPORNA: Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) insiden perlanggaran dua bot penumpang di perairan Semporna ditamatkan sepenuhnya pagi ini selepas mangsa terakhir yang dilaporkan hilang berjaya ditemukan.
Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu memaklumkan mayat mangsa, Rosman bin Kandau, 24, ditemukan pada jam 8.37 pagi di perairan Kampung Terusan Baru, kira-kira 3.4 batu nautika tenggara Jeti Pelancong Semporna, sebelum operasi ditamatkan pada jam 9 pagi.
Mayat mangsa dinaikkan oleh bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan dibawa ke Jeti Marin untuk diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut, dengan kehadiran ahli keluarga bagi tujuan pengecaman.
Operasi SAR yang memasuki hari ketiga melibatkan pencarian di kawasan seluas 17 batu nautika persegi dengan penglibatan tujuh aset laut daripada pelbagai agensi termasuk Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Insiden perlanggaran dilaporkan berlaku sekitar jam 8 pagi pada 9 Januari lalu di kawasan 0.3 batu nautika timur Jeti Pelancong Semporna, mengakibatkan empat individu termasuk juragan mengalami kecederaan, manakala seorang lagi dilaporkan hilang di laut.
MRSC Kota Kinabalu yang mewakili Pengarah Zon Maritim Semporna merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat atas komitmen serta kerjasama bersepadu sehingga operasi berjaya diselesaikan.
