SEMPORNA: Sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Miramas, Lorong 2, di sini, musnah kira-kira 70 peratus dalam kebakaran yang berlaku malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.54 malam itu, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dikejarkan ke lokasi dan tiba empat minit kemudian.
Ketua balai Bomba Dan Penyelamat Semporna Rastam Keladi berkata, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan 30 x 40 kaki persegi.
“Tindakan pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua pancutan, satu aliran daripada hose reel serta satu aliran 100 kaki daripada jentera CFRT, menggunakan sumber air dari tangki jentera dan pili bomba,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.42 malam dan sebuah rumah bersebelahan berkeluasan 25 x 45 kaki persegi berjaya diselamatkan, hanya mengalami kerosakan kira-kira lima peratus pada bahagian dinding pemisah.
“Kebakaran turut berjaya dihalang daripada merebak ke 19 buah rumah lain di kawasan berkenaan,” katanya.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.14 tengah malam selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan.
Operasi pemadaman turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
