KOTA BELUD: Sebanyak 28 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Operasi Bersepadu yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bermula 24 hingga 25 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata operasi berkenaan dijalankan hasil aduan orang awam serta sebagai langkah pencegahan terhadap aktiviti samseng jalanan dan gangguan ketenteraman awam.
Menurutnya, operasi itu melibatkan kerjasama pelbagai cawangan termasuk Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Balai Polis Kota Belud serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), dengan kekuatan seorang pegawai kanan polis dan 10 pegawai rendah polis.
“Operasi bersepadu ini dijalankan di sekitar Jalan Pan Borneo berhampiran Kuala Abai dan Batu Gadung,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sepanjang operasi tersebut, seramai 43 individu dan 30 buah kenderaan telah diperiksa.
Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dikesan termasuk tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu, tiada nombor pendaftaran kenderaan, penggunaan ekzos ubah suai serta kesalahan lalu lintas lain
.
Selain itu, sebuah motosikal turut disita untuk siasatan lanjut.
Shahrudin menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif pihak polis bagi mengekang aktiviti samseng jalanan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.
