Screenshot
KOTA KINABALU, 26 Januari 2026
Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) akan terus memperkukuh keselamatan makanan Sabah dengan mengurangkan kebergantungan kepada import makanan secara berperingkat melalui peningkatan pengeluaran tempatan.
Menterinya,Datuk Jamawi Jaafar, berkata langkah itu merupakan keutamaan strategik pertama kementerian, dengan tumpuan kepada pengeluaran padi dan beras, sektor ternakan seperti lembu dan ayam, sayur-sayuran serta perikanan bagi menjamin kestabilan harga, kesinambungan bekalan dan kebajikan rakyat.
Beliau berkata, usaha tersebut perlu disokong dengan peningkatan produktiviti dan pemodenan sektor pertanian serta perikanan melalui pengurangan kebergantungan kepada kaedah tradisional.
Jamawi berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah serta Sambutan Tahun Baharu 2026 di Dewan Serbaguna Wisma Pertanian Sabah, di sini, hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri meletakkan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan sebagai tonggak strategik pembangunan Sabah, bukan sahaja bagi menjamin keselamatan makanan tetapi juga memperkukuh daya tahan ekonomi serta menjana pendapatan masyarakat luar bandar.
“Segala perancangan dan pelaksanaan kementerian mesti selari dengan agenda Sabah Maju Jaya serta diperkukuh melalui kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Jamawi turut menegaskan keperluan mempercepatkan peralihan kepada pertanian pintar, penggunaan mekanisasi, amalan pertanian berketepatan tinggi serta pemanfaatan data, teknologi dan inovasi melalui kerjasama strategik dengan universiti serta institusi penyelidikan.
Mengulas penglibatan belia, beliau berkata masa depan sektor pertanian dan perikanan Sabah amat bergantung kepada golongan muda dan sektor itu perlu diposisikan sebagai kerjaya yang berdaya maju, bermaruah serta menguntungkan.
“Kerajaan Negeri akan terus menyokong pembangunan agropreneur belia, memperkasa perniagaan dan koperasi baharu serta menambah baik akses kepada tanah, pembiayaan dan sokongan teknikal,” katanya.
Dalam masa sama, pemerkasaan petani, nelayan dan komuniti luar bandar kekal menjadi fokus utama kementerian bagi meningkatkan pendapatan golongan sasar serta mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.
Jamawi turut menekankan kepentingan tadbir urus yang baik, sistem penyampaian yang cekap serta tahap integriti yang tinggi dengan toleransi sifar terhadap ketirisan dan ketidakcekapan.
Beliau berharap semua pegawai kementerian, jabatan dan agensi di peringkat negeri dan persekutuan bersikap proaktif, turun ke lapangan serta bertanggungjawab menyelesaikan isu rakyat secara tuntas.
Selain itu, kerjasama antara agensi akan terus diperkukuh dengan memecahkan silo antara jabatan, agensi persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta melalui pendekatan perkongsian awam swasta.
Mengulas cabaran perubahan iklim, Jamawi berkata kementerian akan menggalakkan amalan pertanian lestari, penggunaan tanaman berdaya tahan iklim serta pengurusan tanah secara bertanggungjawab.
Bagi memastikan semua inisiatif mencapai sasaran, penetapan petunjuk prestasi utama yang jelas akan dilaksanakan di peringkat jabatan, agensi dan ketua program, disertai pemantauan serta pelaporan berkala.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata MAFFI akan melancarkan Inisiatif Kebun Dapur secara berstruktur di seluruh Sabah bagi menggalakkan isi rumah khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman mengusahakan tanaman, ternakan kecil serta perikanan skala kecil.
Katanya, inisiatif itu mampu menjadi pemangkin kepada keterjaminan makanan, pengurangan kos sara hidup serta pembudayaan sikap berdikari dalam kalangan masyarakat.
“Inisiatif Jelajah Kebun Dapur pertama akan dilancarkan di daerah Tuaran dan dirasmikan oleh Ketua Menteri bulan depan, selain dilaksanakan menggunakan pendekatan mentor mentee bagi menarik minat generasi muda,” katanya.
Beliau berkata kementerian telah mengenal pasti mentor pertanian yang berkredibiliti bagi membimbing peserta secara langsung, sekali gus melahirkan lebih ramai agropreneur muda yang mahir dari aspek teknikal, pengurusan dan pemasaran.
Inisiatif itu juga akan memberi pendedahan kepada teknologi pertanian pintar, automasi serta penggunaan Internet Benda selaras dengan agenda memodenkan sektor pertanian Sabah.
Dalam Belanjawan 2026, MAFFI diperuntukkan RM559.85 juta, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memacu sektor pertanian demi kesejahteraan petani, penternak, nelayan dan usahawan tani.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan I dan II, Datuk Haji Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong; Pengurus Besar LIGS selaku pengerusi penganjur majlis, Sabdil Tanjong serta timbalan-timbalan setiausaha tetap kementerian.
