KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah melancarkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 dengan sasaran meningkatkan daya saing, produktiviti serta nilai ekonomi negeri ke tahap lebih tinggi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata SMJ 2.0 merupakan kesinambungan kepada SMJ 1.0 yang sebelum ini memberi tumpuan kepada pemulihan, penstabilan dan penyusunan semula pasca pandemik COVID-19 serta Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Menurutnya, SMJ 2.0 bukan sekadar pelan pembangunan, sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memimpin perubahan dalam persekitaran global yang semakin mencabar dan pantas, dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, perdagangan rentas sempadan serta persaingan antarabangsa.
“Pelan ini dirangka melalui libat urus menyeluruh melibatkan Kabinet Negeri, kementerian, pemain industri, golongan belia dan seluruh lapisan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran SMJ 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC), Jumaat lalu.
Hajiji memaklumkan, Belanjawan Negeri 2026 memperuntukkan sebanyak RM12.02 bilion bagi membiayai 1,173 program dan projek pembangunan, menjadikannya peruntukan tertinggi dalam sejarah Sabah, selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dan aspirasi Malaysia MADANI.
Beliau berkata, SMJ 2.0 turut disusun berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan pembangunan mampan serta kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, pelan itu juga mengangkat komitmen dan manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN ke-17 dengan empat tonggak utama iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.
Lima objektif utama SMJ 2.0 adalah membina masyarakat bersatu dan aman, mengoptimumkan hasil negeri, mempelbagaikan ekonomi, meningkatkan ekonomi rakyat serta membangunkan modal insan.
Hajiji berkata, pelaksanaan SMJ 2.0 digerakkan melalui tiga teras utama, iaitu Sektor Pertumbuhan Ekonomi yang memfokuskan perindustrian, pelancongan dan pertanian; Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat merangkumi pendidikan, TVET, STEM, latihan pertanian serta digital; dan Jaringan Infrastruktur serta Kelestarian Hijau yang meliputi infrastruktur asas, tenaga lestari dan pemeliharaan alam sekitar.
Katanya, ketiga-tiga teras itu diperkukuh dengan tumpuan kepada Ekonomi Biru, pendigitalan AI dan pembangunan inklusif, serta dipacu oleh lima pemboleh daya utama iaitu kemampanan fiskal, kemudahan kewangan, keberkesanan perkhidmatan, tadbir urus berintegriti dan kerajaan digital.
Dalam sektor perindustrian, Hajiji berkata Sabah berjaya menarik pelaburan bernilai puluhan bilion ringgit, termasuk projek Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. bernilai RM31 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas (SOGIP), Sipitang, yang dijangka mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Selain itu, kerajaan negeri akan mempercepatkan pembangunan dan naik taraf taman perindustrian strategik di KKIP, SOGIP dan POIC Lahad Datu, di samping merangka Pelan Induk Perindustrian Kudat berasaskan Ekonomi Biru serta merancang dua taman perindustrian baharu di Kota Belud–Kota Marudu dan Beaufort–Kimanis.
Beliau berkata, Inisiatif SME-UP menyasarkan 600 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), termasuk pembangunan sistem data perkilangan serta pelaksanaan Program Sabah Ready to Eat (RTE) bagi meluaskan pasaran produk tempatan.
Dalam sektor pelancongan, Hajiji memaklumkan Sabah mencatat pemulihan memberangsangkan dengan hampir 10 juta pelancong direkodkan dalam tempoh lima tahun.
Katanya, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Sabah Year 2027, kerajaan memberi tumpuan kepada pelancongan berkualiti tinggi, produk premium, penganjuran acara antarabangsa serta pematuhan piawaian perkhidmatan global termasuk ASEAN Tourism Standard menjelang 2030.
Pemeliharaan warisan, budaya dan alam sekitar turut diberi keutamaan melalui pembangunan Pusat Kebudayaan Kinarut, Majlis Seni Negeri Sabah, tapak Warisan Dunia UNESCO dan Taman Teluk Darvel, dengan peruntukan RM444.69 juta di bawah RMK-13.
Mengulas sektor pertanian, Hajiji berkata ia kekal sebagai teras strategik SMJ 2.0 melibatkan subsektor tanaman, ternakan dan perikanan, dengan peruntukan RM580.45 juta.
“Sasaran tahap sara diri (SSL) beras akan ditingkatkan daripada 30 peratus kepada 60 peratus menjelang 2030 melalui Program Revolusi Padi di enam daerah, penyediaan jentera moden bernilai RM15 juta serta pembangunan Sabah Agricultural Biotechnology Centre (SABTeC) di Tuaran,” katanya.
Menurutnya, subsektor ternakan menyasarkan 25 peratus SSL ruminan menjelang 2030 menerusi Program Perladangan Kontrak, manakala sektor perikanan dipacu melalui Ekonomi Biru Sabah dengan peningkatan pendaratan ikan, pembangunan pelabuhan dan pengukuhan rantaian hiliran.
