RANAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah terus memperkukuh komitmen dalam membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar daerah Ranau, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Sabah, Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yussof berkata, dalam satu operasi yang dijalankan di sebuah lokasi di daerah berkenaan, seramai 23 individu warga asing telah ditahan kerana disyaki melanggar pelbagai peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Menurut beliau, operasi berkenaan melibatkan 16 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah dari Pejabat Imigresen Daerah Ranau, dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Ranau.
“Hasil pemeriksaan ke atas 38 individu, pihak kami telah menahan 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terdiri daripada 21 lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa, kesemuanya dipercayai warganegara Filipina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana masuk dan berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah, selain Seksyen 36 akta yang sama.
Datuk Sh. Sitti Saleha menegaskan bahawa JIM Sabah tidak akan berkompromi dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melindungi, menggaji atau bersubahat dengan pendatang asing tanpa izin.
“Jabatan Imigresen Malaysia Sabah menyeru orang awam agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membantu usaha penguatkuasaan undang-undang dan memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya.
