KUDAT: Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah selepas menahan dua lelaki dan merampas dadah disyaki jenis syabu seberat kira-kira 394.16 gram bernilai RM43,357.60 dalam satu serbuan di sebuah bilik sewa atas kedai di Pekan Tomburungus, di sini, lewat malam Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Haji Ibrahim, berkata serbuan dijalankan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat kira-kira jam 11.30 malam, pada 31 Januari 2026.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam bilik sewa berkenaan menemui beberapa bungkusan plastik lutsinar mengandungi hablur kristal disyaki dadah yang disembunyikan di beberapa lokasi dalam bilik tersebut.
“Polis turut merampas sebuah kenderaan, wang tunai, beberapa unit telefon bimbit, alat timbang, plastik pembungkusan serta peralatan lain yang dipercayai digunakan bagi aktiviti pengedaran dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek didapati positif methamphetamine dan amphetamine, selain mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.
Menurutnya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.
“Polis Daerah Kudat akan terus komited membanteras jenayah dadah dan menyeru orang awam supaya menyalurkan maklumat serta menjauhi sebarang bentuk pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” katanya.
