TAWAU: Taktik membawa bahan api dalam kuantiti kecil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa terbongkar apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak di perairan Tawau, pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot berkenaan dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan dari arah Tawau menuju ke Pulau Sebatik sebelum berjaya dipintas kira-kira 0.8 batu nautika utara Muara Sungai Aji Kuning.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dan membawa 40 gelen petrol yang dianggarkan berjumlah 1,200 liter serta tiga tong gas petroleum cecair (LPG) berisi, dipercayai cuba diseludup keluar tanpa permit yang sah.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati juragan bot gagal mengemukakan lesen pendaftaran bot yang sah ketika diminta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Ariffin, bot, enjin serta semua muatan telah dirampas sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM46,000,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, modus operandi membawa bahan api dalam kuantiti kecil tetapi dilakukan secara berulang merupakan antara taktik utama sindiket penyeludupan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau yang sering menjadi laluan rentas sempadan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Ariffin menegaskan Maritim Malaysia memandang serius sebarang aktiviti jenayah di laut dan akan memastikan aset rondaan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.
