KOTA KINABALU, 10 Februari 2026 — Sabah kini memiliki pegangan sebanyak 20 peratus dalam projek minyak dan gas PETRONAS di perairan negeri ini, sekali gus menandakan penglibatan langsung kerajaan negeri dalam sektor tenaga strategik tersebut.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, memaklumkan perkara itu menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi beliau.
Menurutnya, langkah tersebut dijangka memberi pulangan kepada negeri serta rakyat Sabah, selain membantu meningkatkan hasil pendapatan kerajaan negeri.
“Ini bermakna negeri kita terlibat secara langsung dan insya-Allah hasilnya akan memberi pulangan kepada Sabah serta rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan itu akan mengukuhkan kedudukan ekonomi Sabah serta memastikan pengurusan sumber tenaga dilaksanakan secara berhemah, telus dan mampan untuk jangka panjang.
Katanya lagi, kerjasama strategik antara SMJ Energy dan PETRONAS mencerminkan komitmen bersama dalam membina masa depan tenaga Sabah yang lebih kukuh.
Menurut Hajiji, usaha itu juga bertujuan memastikan manfaat hasil sumber tenaga dapat dirasai oleh generasi masa kini dan akan datang.
Langkah tersebut dilihat sebagai satu perkembangan penting dalam usaha memperkukuh peranan Sabah dalam industri minyak dan gas negara, selain meningkatkan hasil negeri melalui penyertaan langsung dalam projek tenaga strategik.
