KUCHING – Polis Sarawak menyasarkan lebih banyak tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap pelaku jenayah agresif termasuk sindiket jenayah terancang, keganasan dan pengedaran dadah di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya kini turut memantau beberapa kumpulan disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah, namun tidak mendedahkan identiti atau jumlah kumpulan berkenaan.
“Saya memberi amaran keras kepada mereka di luar sana, sekiranya mereka masih lagi bergiat aktif dalam pengedaran dadah di negeri Sarawak, tindakan SOSMA akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan operasi khas bagi membanteras jenayah terancang, beliau berkata tindakan lebih agresif akan dilaksanakan berbanding operasi seperti Ops Cantas Khas Kenyalang sebelum ini.
“Saya letakkan tanggungjawab itu di bahu Ketua JSJ dan semua jabatan yang ada dalam kontinjen Sarawak bekerjasama ke arah mengambil tindakan yang lebih agresif,” katanya menambah masih terdapat kumpulan jenayah terancang lain dalam radar pihaknya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Zainal berkata, anggota dan pegawai polis yang bertugas di lapangan ketika keadaan jerebu perlu mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan Kementerian Kesihatan, termasuk memakai pelitup muka.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat kualiti udara yang tidak baik, khususnya kepada anggota yang menjalankan tugas rondaan, trafik dan operasi di kawasan sempadan.
Terdahulu, beliau menyaksikan Senior Asisten Kosmisioner M. Kumarasan menyandang jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sarawak baharu menggantikan Asisten Komisioner Ishak Yaakub yang memangku jawatan itu sejak 18 Ogos lalu.
Kredit sumber: Bernama/Kosmo! Online
