TAWAU, 1 September 2026 – Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah menafikan dakwaan di media sosial yang mengaitkan seorang tertuduh dalam kes pengedaran dadah di Tawau sebagai anaknya.
Liew menegaskan, anaknya ialah Sammie Liew dan bukannya Sherlin Liew Zi Ling seperti yang didakwa dalam beberapa hantaran media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Nama anak saya Sammie Liew, bukan Sherlin Liew Zi Ling,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai fitnah besar yang bukan sahaja menjejaskan reputasinya, malah turut memberi kesan terhadap nama baik keluarga serta PHRS.
Menurut Liew, pihaknya akan membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang menyebarkan maklumat yang didakwa tidak benar.
“Kami akan buat laporan polis terhadap fitnah yang dilemparkan ini sehingga menjejaskan reputasi saya serta PHRS,” katanya.
Liew yang juga Naib Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, anaknya tidak pernah mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Beliau turut berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang didakwa sengaja menyebarkan dakwaan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, enam individu sebelum ini didakwa bersama di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan mengedar 659.16 gram MDMA atau ekstasi.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah rumah inap mewah di Taman Nordin, Jalan Kuhara, Tawau, kira-kira jam 4.30 pagi pada 26 Ogos lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kes berkenaan kini dalam proses perundangan, manakala dakwaan yang mengaitkan identiti seorang tertuduh dengan keluarga Liew dinafikan oleh Presiden PHRS berkenaan. – DAKWAT RAKYAT POST
