LAHAD DATU: Ekosistem pendidikan di Lahad Datu perlu terus memperkukuh kerjasama antara sekolah, ibu bapa, komuniti dan pemimpin setempat bagi menyediakan peluang lebih luas kepada generasi muda.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal berkata, pendidikan tidak seharusnya terhad di dalam bilik darjah, sebaliknya perlu diperkasakan melalui penglibatan komuniti dan kerjasama pelbagai pihak.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan anak-anak di Lahad Datu dan Sabah terus mendapat peluang untuk terlibat dalam perkembangan pendidikan serta teknologi negara.
Katanya, penganjuran Karnival Pendidikan Madani 2026: Sehari Bersama Rakyat oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lahad Datu mencerminkan komitmen bersama untuk menjadikan pendidikan sebagai keutamaan di daerah berkenaan.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Mujibu Abd Muis.
Menurut Mohammad Yusof, karnival berkenaan turut memberi peluang kepada murid meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), teknologi serta bidang pembelajaran baharu.
“Sesebuah aktiviti yang mungkin kelihatan ringkas kepada kita boleh menjadi detik yang mencetuskan inspirasi kepada seorang anak untuk bercita-cita menjadi saintis, jurutera, pencipta atau usahawan teknologi,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Silam berkata, bidang STEM dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkenalkan serta dipupuk sejak di peringkat sekolah bagi mempersiapkan murid menghadapi masa depan.
Katanya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melihat pendidikan sebagai asas penting dalam melahirkan generasi yang berkemampuan dalam akademik, celik teknologi, kreatif dan inovatif.
“Kita tidak mahu anak-anak kita hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi menjadi pencipta masa depan,” katanya.
Mohammad Yusof berkata, Lahad Datu mempunyai potensi besar dalam bidang seperti agroteknologi, teknologi makanan, biodiversiti, teknologi hijau dan pendigitalan yang mampu membuka laluan baharu kepada generasi muda.
Katanya, daerah itu turut mempunyai murid berbakat, guru berdedikasi, institusi pendidikan, komuniti yang menyokong serta sektor ekonomi yang boleh digembleng bagi mewujudkan persekitaran lebih kukuh untuk pembangunan bakat muda.
Beliau berkata, tumpuan kini perlu diberikan kepada usaha memanfaatkan peluang sedia ada dengan lebih baik, selain mewujudkan lebih banyak ruang kepada golongan muda untuk mengembangkan kemahiran dan idea mereka.
Dalam pada itu, Mohammad Yusof turut menyeru ibu bapa supaya terus memberikan sokongan kepada anak-anak, sambil menyifatkan ilmu, pendidikan dan pembentukan sahsiah sebagai antara pelaburan paling bernilai yang boleh diberikan oleh keluarga.
Beliau turut menggalakkan ibu bapa bekerjasama rapat dengan guru dan pihak sekolah dalam membimbing anak-anak serta membentuk masa depan mereka.
Beliau turut memuji komitmen guru dan warga pendidikan di Lahad Datu atas dedikasi, kesabaran serta sumbangan mereka dalam membentuk generasi akan datang.
Mohammad Yusof berkata, pengalaman dan ilmu yang diperoleh sepanjang karnival itu perlu diteruskan di sekolah, rumah dan komuniti supaya manfaat program dapat dirasai dalam jangka panjang.
Katanya, masa depan Lahad Datu memerlukan usaha bersama guru, ibu bapa, komuniti dan golongan muda yang bersedia mengejar aspirasi serta mengembangkan potensi mereka.
