TAWAU: Hari ketujuh perbicaraan kes sivil membabitkan AuMas Resources Berhad (dahulunya Bahvest Resources Berhad) berhubung tuntutan RM20.4 juta di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, menyaksikan pemeriksaan balas terhadap saksi pertama plaintif (PW1) diteruskan.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif AuMas, Chong Tzu Khen, memberi keterangan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos.
Prosiding tertumpu kepada penelitian empat pucuk surat yang menjadi asas tuntutan, dengan peguam defendan, Andy Tay, mengemukakan soalan berkaitan ketulenan dokumen, garis masa penerimaan serta pendedahan awam sebelum ini.
Chong bersetuju bahawa beliau hanya melihat keempat-empat surat berkenaan pada Julai 2023.
Beliau turut mengakui tiada laporan forensik atau penemuan rasmi setakat ini yang mengisytiharkan surat terbabit sebagai palsu.
Saksi itu juga bersetuju surat-surat berkenaan sudah didedahkan kepada umum menerusi pengumuman kepada Bursa Malaysia sebelum Julai 2023.
Dalam keterangannya, Chong mengesahkan beliau dilantik sebagai pengarah pada 26 Mei 2023 dan hanya mengetahui mengenai kewujudan surat terbabit selepas membaca pengumuman syarikat berkaitan tuntutan serta penyelesaian yang menyusul.
Mahkamah turut meneliti isu pemerolehan awal Wullersdorf Resources Sdn Bhd termasuk Surat Keizinan bertarikh 18 September 2015 yang dilampirkan dalam pekeliling kepada pemegang saham pada 28 Disember 2016 dan boleh diakses secara awam.
Chong bersetuju tiada penyembunyian sengaja dilakukan terhadap surat berkenaan, selain mengakui tiada dokumen dikemukakan yang menyatakan ia sebagai pra-syarat rasmi kepada pemerolehan berkenaan.
Plaintif AuMas/Bahvest serta Wullersdorf Resources Sdn Bhd diwakili Norbert Yapp & Associates dan Azimi Yahya, manakala defendan diwakili Andy Tay & Associates bersama Lawrence Chai serta Peter Soong & Partners.
Prosiding ditangguhkan dan bersambung hari ini.
