KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam menghargai dan memperkasa atlet serta persatuan sukan di negeri ini menerusi penganjuran Majlis Penyampaian Skim Insentif Kemenangan Sukan Kebangsaan dan Antarabangsa Tahun 2025 serta Penyerahan Geran Persatuan Sukan Negeri Bagi Tahun 2026.
Majlis tersebut berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, dan menjadi platform pengiktirafan kepada atlet-atlet Sabah yang telah mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sekali gus mengharumkan nama negeri serta negara.
Menurut Nizam, penyampaian skim insentif kemenangan itu merupakan tanda penghargaan terhadap pencapaian atlet yang telah berusaha gigih dalam mengangkat martabat sukan Sabah ke tahap lebih tinggi.
“Insentif ini adalah bentuk pengiktirafan kepada atlet yang telah mencipta kejayaan dan membuktikan kemampuan mereka di pentas kompetitif,” katanya.
Dalam majlis sama, geran persatuan sukan negeri turut diserahkan bagi memperkukuh pengurusan, program latihan serta pembangunan sukan secara lebih tersusun dan mampan.
Beliau berkata, pemberian geran tersebut menunjukkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan ekosistem sukan di Sabah terus berkembang dengan sokongan yang sistematik dan berkesan.
Tambah beliau, atlet yang tidak berjaya pada kali ini tidak perlu berputus asa, sebaliknya terus mempertingkatkan latihan, disiplin dan semangat untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan.
“Jangan berhenti berusaha. Kejayaan pasti akan datang kepada mereka yang konsisten dan komited,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri wakil-wakil persatuan sukan serta atlet yang menerima insentif dan geran masing-masing.
