TAWAU: Persatuan Bola Sepak Tawau (SAFA Tawau) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-11 bagi Tahun 2025 yang berlangsung di Heritage Hotel Tawau, hari ini.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Belia dan Sukan Sabah merangkap Presiden SAFA Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Menurut Datuk Nizam, antara agenda utama yang diberi penekanan ialah kepentingan perancangan strategik yang komprehensif dalam memperkasa pembangunan bakat bola sepak di peringkat akar umbi di daerah Tawau bagi musim 2025/2026.
“Kita mahu memastikan kesinambungan pembangunan pemain dilaksanakan secara tersusun dan berfokus supaya lebih ramai bakat berkualiti dapat dilahirkan untuk mewakili Tawau dan seterusnya Sabah,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Belia dan Sukan Sabah berkata, pembangunan akar umbi merupakan asas penting dalam memastikan ekosistem bola sepak daerah terus berkembang secara mampan.
Dalam mesyuarat tersebut, laporan tahunan serta penyata kewangan persatuan turut dibentangkan sebagai langkah memastikan tadbir urus yang telus, berintegriti dan berakauntabiliti.
Datuk Nizam menjelaskan bahawa ketelusan dalam pengurusan persatuan amat penting bagi memastikan keyakinan ahli-ahli persatuan serta pihak berkepentingan sentiasa terpelihara.
Bersempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada barisan Ahli Jawatankuasa serta wakil kelab dan akademi bola sepak yang hadir sebagai tanda penghargaan atas komitmen berterusan mereka terhadap pembangunan bola sepak di Tawau.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara Iftar dan solat Maghrib secara berjemaah dalam suasana penuh harmoni dan keberkatan bulan Ramadan.
Program berkenaan dilihat bukan sahaja sebagai platform rasmi persatuan, malah menjadi medium untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan barisan kepimpinan serta ahli-ahli SAFA Tawau demi memperkukuh masa depan bola sepak di daerah ini.
