KOTA KINABALU: Sudahkah anda mencuba resipi puding karamel yang tular hasil perkongsian pempengaruh terkenal, Khairul Aming (KA)?
Sejak dimuat naik menerusi siri 30 Hari 30 Resipi, video berdurasi 60 saat itu bukan sahaja meraih jutaan tontonan, malah mencetuskan trend baharu dalam kalangan pengguna media sosial yang berlumba-lumba mencuba sendiri di dapur masing-masing.
Menerusi tinjauan di platform media sosial, rata-rata netizen berkongsi pengalaman mereka mengetuk loyang bagi melihat hasil puding yang disediakan bersama keluarga, rakan mahupun saudara-mara.
Ada yang berjaya menghasilkan tekstur puding sempurna dan tidak kurang juga yang berkongsi momen ‘tersangkut’ apabila lapisan karamel tidak menjadi seperti diharapkan, namun tetap diraikan dengan gelak tawa.
Fenomena itu turut memperlihatkan bagaimana satu kandungan resipi mampu mencipta ruang kebersamaan dalam keluarga, sekali gus menjadikan dapur sebagai tempat berkumpul dan berinteraksi.
Lebih menarik, video kompilasi yang dihimpunkan daripada rakaman pengguna media sosial turut mendapat perhatian ramai dan mencatat jutaan tontonan serta ribuan komen positif.
Bagi anda, adakah puding karamel tersebut sudah dicuba? Jika belum, mungkin inilah masa untuk turun ke dapur dan merasai sendiri pengalaman yang menjadi bualan ramai ini sama ada untuk mencuba resipi, menikmati hasilnya atau sekadar berkongsi momen bersama insan tersayang.
