SURYADY
TAWAU: Nasib individu tidak berdokumen yang tercicir daripada pelbagai hak asas kini mula diberi perhatian menerusi usaha pendataan keluarga terjejas.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, usaha itu sudah digerakkan sejak dua bulan lalu dengan kerjasama Mahkamah Bergerak Negeri Sabah dan ketua-ketua kampung.
Katanya, inisiatif berkenaan dilaksanakan susulan kewujudan kes anak-anak atau individu yang gagal didaftarkan kelahiran berikutan masalah dokumentasi perkahwinan ibu bapa.
“Antara masalah yang kita hadapi ialah keadaan anak-anak tidak berdokumen disebabkan isu sijil perkahwinan ibu bapa.
“Salah seorang ibu bapa adalah warganegara tetapi kerana taraf perkahwinan itu tidak didaftarkan atau hanya didaftarkan secara kampung, perkahwinan itu tidak diiktiraf di Malaysia,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.
Andi berkata, setakat ini hanya 40 keluarga tampil dalam usaha pendataan berkenaan walaupun maklumbalas awal yang diterima agak memberangsangkan.
Katanya, jumlah itu masih kecil kemungkinan disebabkan ada pihak yang malu atau kurang kesedaran berhubung kepentingan status kewarganegaraan di negara ini.
“Apabila data ini diperoleh, kita akan kemukakan kepada Ketua Menteri Sabah supaya kita dapat sama-sama mencari solusi dan penyelesaian terbaik.
“Kesian mereka ini kerana dinafikan hak pendidikan, dinafikan hak kesihatan dan apabila dewasa mereka seolah-olah berada dalam kedudukan sama seperti pendatang asing tanpa izin (PATI) sedangkan mereka adalah warganegara Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, masalah berkenaan bukan isu terpencil dan jika tidak ditangani, isu itu berisiko bertambah serius sehingga menjadi masalah sosial yang lebih besar pada masa hadapan.
“Sebab itu saya harap ada kerjasama menyeluruh daripada kerajaan negeri dan Persekutuan supaya isu ini dapat diselesaikan bersama.
“Satu jawatankuasa khas juga wajar dipertimbang bagi meneliti perkara itu secara lebih mendalam memandangkan latar belakang isu berkenaan agak sensitif,” katanya.
Beliau berkata, ada dalam kalangan individu yang terkesan sudah melepasi had umur bagi mendaftar kewarganegaraan.
“Umur maksimum adalah sehingga 21 tahun (daftar kewarganegaraan), tapi rekod kami terima ada yang sudah berusia 30-an dan 40-an.
“Keadaan itu memaksa mereka menyara hidup dengan melakukan kerja-kerja 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar,”katanya.
