KINABATANGAN: Tuntutan Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri akan terus diperjuangkan walaupun kerajaan Persekutuan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perkara itu.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin menegaskan tuntutan tersebut merupakan hak perlembagaan yang perlu dilaksanakan, meskipun proses perundangan masih berjalan.
Menurut beliau, isu berkenaan bukan sekadar bersifat politik, sebaliknya memberi kesan langsung kepada pembangunan keseluruhan negeri Sabah.
“Kerajaan Negeri Sabah dan juga rakyat negeri Sabah memang masih berpendirian bahawa tuntutan tersebut perlu diselesaikan walaupun terikat dengan prosedur.
“Apa sahaja proses yang berjalan, dari segi hak, tuntutan itu adalah sesuatu yang sewajarnya dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama pemain industri pelancongan dan kebudayaan Sabah di Kinabatangan.
Jafry yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menambah, hasil 40 peratus itu amat penting bagi membantu mempercepat pembangunan negeri, khususnya dalam merapatkan jurang infrastruktur yang masih ketinggalan berbanding negeri lain.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata beliau akan membawa perkara tersebut ke Parlimen, namun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam proses mahkamah.
“Kita hormati proses mahkamah, namun saya kekal konsisten bahawa hak Sabah perlu dikembalikan kepada negeri ini.
“Saya juga menyokong agar perkara ini dijadikan usul utama untuk dibincangkan oleh perwakilan Sabah dalam Persidangan Agung UMNO,” katanya.
Pada Isnin lalu, Mahkamah Rayuan Malaysia di Putrajaya membenarkan permohonan kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan tuntutan tersebut.
Keputusan itu secara langsung menangguhkan tempoh semakan selama 90 hari serta tempoh persetujuan 180 hari sementara rayuan didengar.
