BANTING: Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang disyaki menjerut leher ibunya sehingga maut di sebuah rumah di Banting, Kuala Langat, direman selama tujuh hari sehingga 20 November ini bagi membantu siasatan.
Lebih mengejutkan, ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal bin Radzi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan seorang wanita tempatan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah rumah di kawasan Banting pada 13 November lalu, kira-kira jam 1 tengah hari.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mangsa, yang berusia lingkungan 50-an, dipercayai telah dibunuh dengan cara dijerut pada bahagian leher.
Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan bagi membantu siasatan.
“Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222 bagi membantu siasatan.-DAKWAT RAKYAT POST
