TAWAU: Seorang pekerja pelabuhan cedera di bahagian kepala, bahu kanan dan pinggul selepas terjatuh dari ketinggian tiga tingkat kontena ketika menjalankan kerja di Pelabuhan Tawau, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 12.50 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun dipercayai hilang keseimbangam dan terjatuh apabila tangga yang dinaikinya bergerak secara tiba-tiba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.51 pagi.
Katanya, seramai enam anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi dan tiba tiga minit kemudian.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mangsa terjatuh dari ketinggian tiga tingkat kontena ketika melakukan kerja di kawasan berkenaan.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila tangga yang dinaiki mangsa bergerak sehingga menyebabkan dia hilang keseimbangan sebelum terjatuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum mengangkatnya menggunakan lif kontena pelabuhan ke kawasan selamat.
Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pemeriksaan pihak KKM mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, bahu kanan dan pinggul.
“Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.10 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
