TAWAU: Penduduk di kawasan perkampungan atas air dan penempatan padat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas bakal mendapat kemudahan pili bomba tambahan tahun depan bagi mempercepatkan tindakan memadam kebakaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penyediaan kemudahan itu menjadi antara agenda utama beliau bagi mengurangkan risiko kebakaran merebak, terutama di kawasan rumah yang dibina rapat antara satu sama lain.
Menurutnya, ketiadaan sumber air berhampiran boleh menyukarkan usaha memadam kebakaran pada peringkat awal, sekali gus meningkatkan risiko api merebak ke kediaman bersebelahan.
Katanya, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz serta pegawai bomba di Tawau bagi mengenal pasti lokasi strategik untuk pemasangan pili bomba.
“Perkara ini saya letakkan sebagai agenda utama tahun depan untuk membantu penduduk kampung. Apabila berlaku kebakaran, mereka tidak lagi tercari-cari sumber air untuk memadamkan api.
“Saya akan mendapatkan pandangan pihak bomba mengenai lokasi yang sesuai dan jika kosnya tidak terlalu tinggi, saya akan menggunakan peruntukan sebagai ADUN Apas untuk menyediakan pili bomba,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Kempen Sehari Bersama Bomba Komuniti, Skuad Bomba, Suri dan Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti Kampung Inderasabah, di sini, hari ini.
Nizam berkata, kedudukan DUN Apas yang bersempadan dengan pesisir pantai selain mempunyai banyak perkampungan atas air menjadikan kawasan itu berdepan risiko kebakaran yang perlu diberi perhatian serius.
Katanya, keadaan rumah yang dibina berhampiran antara satu sama lain menyebabkan kebakaran berpotensi merebak dengan pantas sekiranya tiada tindakan awal dilakukan.
Beliau berkata, kawasan DUN Apas mempunyai lapan pusat daerah mengundi (PDM) merangkumi beberapa kampung dan pihaknya akan memberi keutamaan kepada lokasi berisiko tinggi yang sukar mendapatkan sumber air.
“Kita akan berbincang dengan pihak bomba untuk melihat lokasi paling sesuai. Kita tidak boleh hanya menjaga rumah sendiri kerana apabila rumah jiran terbakar, rumah kita juga boleh terjejas,” katanya.
Sementara itu, Mohd Pisar berkata, program berkenaan adalah sebahagian strategi JBPM meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pencegahan kebakaran dan kesiapsiagaan komuniti.
Katanya, masyarakat tidak seharusnya hanya bergantung kepada pasukan bomba selepas sesuatu kebakaran berlaku, sebaliknya perlu mempunyai pengetahuan serta kemahiran untuk mengambil tindakan awal.
“Program ini membabitkan 11 pasukan Bomba Komuniti dengan kekuatan 110 anggota dari Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.
“Secara keseluruhan, Sabah mempunyai 493 pasukan Bomba Komuniti termasuk 11 pasukan yang menyertai program ini,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
