SURYADY bersama penganjur dan pelajar dalam program berkenaan.
TAWAU: Pendigitalan perpustakaan dan penyediaan bahan bacaan yang lebih mudah diakses dilihat mampu membantu memupuk minat membaca dalam kalangan generasi muda.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, usaha itu penting bagi memastikan institusi perpustakaan terus relevan seiring perkembangan teknologi dan perubahan gaya hidup masyarakat hari ini.
Beliau berkata, perpustakaan tidak lagi boleh bergantung kepada buku bercetak sahaja, sebaliknya perlu menggunakan sistem digital yang lebih mudah dan tersusun.
“Kita kena ambil contoh perpustakaan di bandar utama seperti New York yang sudah mempunyai seksyen digital. Ini menunjukkan perpustakaan sudah berubah daripada konsep tradisional berasaskan buku fizikal kepada sistem digital yang membolehkan bahan rujukan diakses dengan lebih mudah.
“Generasi muda hari ini mempunyai tempoh tumpuan yang singkat sekitar lapan hingga 10 saat sahaja. Perkara ini perlu diberi perhatian dan saya fikir pihak perpustakaan di Malaysia perlu ambil contoh dan menerajui perubahan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jom Baca Bersama 10 Minit anjuran Perpustakaan Sabah Cawangan Tawau dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), di sini, semalam.
Program yang dianjurkan Perpustakaan Negara Malaysia sejak 2014 itu disertai seramai 350 pelajar, murid, guru dan ibu bapa membabitkan 20 sekolah di daerah ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas berhubung lambakan buku murah yang tidak ditapis di pasaran wajar diberi perhatian serius kerana dikhuatiri mengandungi unsur negatif yang boleh menjejaskan pemikiran generasi muda.
Jelasnya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam membimbing anak muda memilih bahan bacaan yang bermanfaat.
“Ibu bapa kena pandu anak-anak supaya tahu mana-mana bahan bacaan yang bermanfaat dan baik yang boleh menjadi rujukan.
“Bukan hanya berkaitan keganasan, kita juga tidak mahu generasi muda terpengaruh dengan anasir-anasir berhaluan kiri, sebagai contoh LGBT, ajaran sesat yang boleh memesongkan dan mempengaruhi pemikiran anak-anak muda,” katanya.
