LAHAD DATU, 24 April 2026 — Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah berjaya menggagalkan cubaan penyelewengan kira-kira 10,000 liter minyak diesel dalam satu operasi Op Tiris di kawasan Jalan Paris 3, di sini, hari ini.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Amri Abd Rahman, berkata kejayaan itu hasil maklumat awam dan risikan berterusan pasukan dalam membanteras kegiatan penyeludupan bahan api bersubsidi di Pantai Timur Sabah.
Menurutnya, sepasukan anggota PPM telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah lori rigid tangki minyak diesel jenama Nissan yang berada dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut tidak mempunyai sebarang pelekat daripada mana-mana depot sah, manakala muatan dalam tangki dianggarkan lebih kurang 10,000 liter minyak diesel.
“Pemandu lori juga gagal mengemukakan sebarang dokumen penghantaran bagi mengesahkan destinasi bahan api tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, seorang lelaki tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala lori bersama muatan diesel turut dirampas.
Tambahnya, bahan api itu dipercayai cuba diseleweng sebelum diseludup ke negara jiran.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM51,200.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam pada itu, Amri menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi bagi mengekang ketirisan bahan api bersubsidi.
“PPM Wilayah 4 Sabah kekal komited dalam memastikan kegiatan penyelewengan dan penyeludupan dapat dibanteras demi menjaga kepentingan negara,” katanya.
