Screenshot
Editorial
KUALA LUMPUR: Penglibatan anggota pasukan keselamatan dalam kegiatan penyeludupan dadah menggunakan pesawat tentera merupakan sesuatu yang amat mendukacitakan dan boleh menjejaskan imej serta kepercayaan masyarakat terhadap institusi keselamatan negara.
Pengerusi NGO Antarabangsa merangkap Profesor Adjung, Dato’ Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, CP Dato’ Hussein Omar Khan serta seluruh pasukan atas kejayaan membongkar kegiatan penyeludupan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan penglibatan individu yang diberikan amanah menjaga keselamatan negara dalam aktiviti jenayah sebagai satu pengkhianatan terhadap tanggungjawab yang dipikul.
Menurutnya, pasukan keselamatan sepatutnya menjadi benteng utama dalam mempertahankan kedaulatan negara, menjaga keselamatan serta memelihara keharmonian masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menggesa tindakan lebih tegas diambil terhadap anggota yang terbukti terbabit, termasuk dibuang daripada perkhidmatan dan dikenakan hukuman lebih berat berbanding orang awam, selaras dengan undang-undang.
Beliau berkata, penyalahgunaan aset kerajaan dan kedudukan dalam perkhidmatan demi kepentingan peribadi bukan sahaja melanggar peraturan, malah mencemarkan nama baik negara.
Dalam pada itu, beliau berharap JSJN terus mempergiat pemantauan terhadap aktiviti penyeludupan dadah menerusi pelabuhan, kapal, bot nelayan serta terminal kargo lapangan terbang.
Katanya, kawalan keselamatan di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, khususnya di pintu masuk sempadan darat dan perairan negara, perlu diperkukuh bagi mengekang kegiatan penyeludupan dadah.
Beliau turut mencadangkan operasi bersepadu bersama kerajaan negeri dipertingkatkan bagi membanteras jenayah dadah yang disifatkannya sudah lama berakar umbi.
Selain itu, beliau berpandangan hukuman terhadap dalang penyeludupan dadah perlu diperketat, termasuk mengkaji semula pelaksanaan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bebas daripada sebarang gejala jenayah kerana keyakinan rakyat terhadap institusi keselamatan bergantung kepada integriti serta profesionalisme anggotanya.
“Pasukan keselamatan perlu menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat dan sentiasa menjaga imej perkhidmatan demi bangsa, agama dan negara,” katanya.-DRP
