KOTA KINABALU: Keselamatan pengguna jalan raya perlu menjadi keutamaan dalam setiap pelaksanaan projek pembinaan, penyelenggaraan dan naik taraf jalan raya di Sabah, khususnya di laluan utama yang mencatatkan aliran trafik tinggi setiap hari.
Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS), Kefayatullah bin Hj. Malik Aman, berkata aspek keselamatan tidak seharusnya dipandang ringan ketika kerja pembinaan dijalankan, terutama apabila melibatkan perubahan laluan, penggunaan jentera berat dan keadaan permukaan jalan yang berisiko kepada pengguna.
Menurutnya, antara kelemahan yang sering diperhatikan di kawasan pembinaan jalan ialah kekurangan papan tanda amaran yang jelas, penandaan perubahan laluan yang tidak mencukupi serta taburan batu kerikil di permukaan jalan.
Katanya, keadaan itu boleh mengundang bahaya kepada pengguna, khususnya penunggang motosikal yang lebih terdedah kepada risiko tergelincir atau hilang kawalan apabila melalui permukaan jalan yang dipenuhi batu kerikil.
“Perkara seperti ini nampak kecil, tetapi kesannya kepada pengguna jalan raya boleh menjadi besar. Apabila hujan pula, keadaan itu boleh menjadi lebih berbahaya kerana permukaan jalan menjadi licin dan risiko kenderaan hilang kawalan atau terbabas boleh meningkat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata kebimbangan itu turut didorong oleh kejadian kemalangan yang dipercayai berpunca daripada batu kerikil di permukaan jalan.
Menurutnya, laluan Tuaran-Kota Kinabalu, Lebuh Raya Pan Borneo serta beberapa jalan utama lain memerlukan perhatian serius memandangkan jumlah kenderaan yang tinggi menggunakan laluan berkenaan setiap hari.
Sehubungan itu, beliau menegaskan setiap perubahan laluan perlu dimaklumkan lebih awal menerusi pemasangan papan tanda amaran yang jelas serta penanda jalan yang mudah dilihat bagi mengelakkan kekeliruan pengguna.
“Jangan sampai pengguna jalan raya terpaksa meneka sendiri arah laluan yang perlu diambil atau menyedari bahaya hanya apabila sudah terlalu dekat dengan kawasan kerja,” katanya.
Kefayatullah turut menggesa pihak berkaitan, khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR), meningkatkan pemantauan terhadap kontraktor bagi memastikan semua kerja pembinaan dan penyelenggaraan mematuhi keperluan keselamatan jalan raya.
Katanya, pemantauan projek tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kemajuan fizikal, tempoh pembinaan dan pematuhan spesifikasi teknikal, sebaliknya keselamatan orang awam perlu diberikan perhatian sepanjang tempoh pelaksanaan.
“Kontraktor memang perlu menyiapkan kerja mengikut spesifikasi dan tempoh yang ditetapkan, tetapi pada masa sama keselamatan orang awam yang menggunakan jalan tersebut tidak boleh diketepikan.
“Jangan kerana mahu memudahkan kerja kontraktor, aspek keselamatan pengguna pula menjadi perkara kedua. Akhirnya kalau berlaku kemalangan, pengguna jalan raya yang menanggung akibatnya,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya pemeriksaan berkala dilaksanakan di kawasan pembinaan, terutama selepas hujan atau apabila berlaku perubahan laluan bagi memastikan tiada bahan binaan, batu kerikil dan sisa kerja yang boleh membahayakan pengguna.
Antara langkah yang perlu diberikan perhatian termasuk pemasangan papan tanda amaran mencukupi, lampu amaran pada waktu malam, penghadang kawasan kerja serta pembersihan permukaan jalan secara berkala mengikut keadaan dan keperluan projek.
Dalam pada itu, beliau menegaskan keselamatan jalan raya bukan hanya tanggungjawab pengguna, sebaliknya turut memerlukan komitmen semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek.
“Ini bukan soal mencari salah mana-mana pihak, tetapi soal nyawa dan keselamatan orang awam. Satu kemalangan sudah cukup untuk kita mengambil serius perkara ini,” katanya.
Beliau berharap pihak berkuasa dan kontraktor yang terlibat dalam projek pembinaan jalan raya di Sabah menjadikan keselamatan pengguna sebagai komponen utama pada setiap peringkat pelaksanaan projek.
“Jalan raya dibina untuk memberi manfaat kepada rakyat. Jadi, dalam proses membinanya, rakyat yang menggunakan jalan tersebut juga mesti dilindungi,” katanya.– DRP
