KOTA MARUDU: Satu kejadian kebakaran rumah telah dilaporkan berlaku di Kampung Torintidon, Jalan Kampung Lampada, di sini pada 13 Mei 2026.
Panggilan kecemasan diterima pada jam 3.23 pagi (NG999) sebelum Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Marudu tiba di lokasi pada jam 4.48 pagi dengan jarak perjalanan kira-kira 22 kilometer.
Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 28 x 30 kaki persegi yang didapati terbakar 100 peratus.
Operasi dikawal pada jam 4.56 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.53 pagi selepas kerja-kerja overhaul dijalankan menggunakan sumber air daripada paip penduduk kampung.
Pergerakan jentera Fire Rescue Tender (FRT) sejauh 14 kilometer hanya dapat dilalui sehingga berhampiran Sekolah Kebangsaan Lampada sebelum pasukan meneruskan perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (Vigo) berikutan laluan jalan tidak berturap.
Ketua operasi memaklumkan terdapat dua mangsa terlibat, iaitu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang merupakan OKU dan rentung dalam kejadian tersebut, manakala seorang lelaki berusia 28 tahun mengalami kecederaan melecur ketika cuba menyelamatkan adiknya.
Menurut Ketua Balai BBP Kota Marudu, PPgB Debli Mamoi, mangsa yang rentung telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala mangsa cedera dihantar oleh penduduk kampung ke Hospital Kota Marudu sebelum ketibaan pasukan bomba.
Turut dimaklumkan, kawasan kejadian mengalami masalah liputan GIRN dan rangkaian telefon yang tidak stabil selain keadaan jalan tidak berturap menyukarkan akses ke lokasi.
Operasi turut melibatkan 10 anggota JBPM dengan bantuan agensi lain iaitu PDRM dan SESB.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.53 pagi,” menurut laporan. – DAKWAT RAKYAT POST
