KOTA KINABALU – Presiden Pertubuhan Rumpun Etnik Sabah (PRESBAH), Haji Yahya Ahmad menggesa Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Saadiah Aziz tampil memberi penjelasan berhubung isu bil elektrik pengguna yang didakwa meningkat secara mendadak sehingga mencetuskan rungutan meluas dalam kalangan rakyat Sabah.
Menurut beliau, adalah tidak adil untuk terus menyalahkan kenaikan tarif elektrik semata mata terhadap peningkatan bil pengguna, memandangkan kerajaan negeri sebelum ini telah memberi jaminan bahawa sebarang kenaikan dapat dikawal walaupun terdapat sedikit peningkatan kos operasi.
Katanya, peranan kerajaan negeri sudah jelas iaitu memastikan sumber bekalan elektrik terbaik terus terjamin demi kepentingan rakyat dan negeri.
“Namun di peringkat pengurusan SESB, banyak keluhan pengguna telah dikemukakan lengkap dengan bukti perbandingan bil semasa dan terdahulu yang menunjukkan kenaikan berganda sehingga dianggap kurang masuk akal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, SESB sewajarnya membuka ruang siasatan secara telus dan membawa perkara itu ke perhatian Ahli Lembaga Pengarah untuk penelitian adil serta menyeluruh.
Yahya turut mencadangkan supaya satu pasukan siasatan berkecuali ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kenaikan bil sama ada disebabkan peningkatan penggunaan, faktor kiraan tarif atau unsur lain yang hanya difahami pihak SESB.
Dalam pada itu, beliau turut mengkritik tindakan Ketua Pegawai Eksekutif SESB yang didakwa memberi respon kurang matang terhadap teguran pengguna dengan nada ugutan saman.
Menurutnya, tindakan sedemikian hanya memburukkan imej pengurusan SESB dan mencetuskan kemarahan pengguna di seluruh Sabah.
“CEO hanya pelaksana dasar yang diputuskan Ahli Lembaga Pengarah. Beliau perlu menjaga adab, bahasa dan imej pengurusan kerana tindakannya turut mencerminkan imej BOD SESB,” katanya.
Beliau berkata, kelemahan pengurusan dalam menangani isu itu boleh mengundang persepsi buruk rakyat terhadap kerajaan negeri walaupun perkara tersebut tidak wajar dikaitkan secara langsung.
Tambahnya lagi, laporan polis yang telah dibuat pengguna berhubung isu berkenaan menjadi satu titik yang mencalarkan imej SESB.
Sehubungan itu, beliau menggesa Ahli Lembaga Pengarah SESB memanggil pihak pengadu bagi mendapatkan penjelasan secara terbuka dan profesional termasuk bersama peguam masing masing sekiranya perlu.
“Tindakan tegas juga boleh diambil terhadap CEO sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat kelemahan dalam pengurusan isu ini. Jika imej SESB terus tercalar akibat kelemahan kepimpinan, maka CEO perlu diundurkan daripada posisinya,” tegasnya.
