KOTA KINABALU, 12 Mei 2026 – Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah merangkap pengasas Tigasatutiga Channel, Kefayatullah Malik Aman, menggesa Ahli Parlimen Pasir Puteh daripada PAS, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh, supaya segera menarik balik kenyataan yang didakwa menyentuh dan menghina kemuliaan para sahabat Rasulullah SAW serta membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam di Malaysia.
Beliau berkata, kenyataan yang tular baru-baru ini berkaitan dakwaan terhadap Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A dan Saidina Umar Al-Khattab R.A amat membimbangkan kerana boleh menimbulkan kekeliruan terhadap sejarah Islam serta kedudukan sahabat Nabi SAW dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, isu berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepada umat Islam, malah turut berpotensi mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang kurang memahami sirah dan sejarah Islam yang sebenar.
“Ramai masyarakat awam termasuk golongan muda dan bukan Islam tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai sejarah Islam. Apabila tokoh agama atau ahli politik mengeluarkan kenyataan seperti ini tanpa penjelasan tepat dan sumber yang sahih, ia boleh membentuk persepsi yang salah terhadap para sahabat Rasulullah SAW,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap pengaruh media sosial yang boleh menyebarkan potongan video tanpa konteks penuh, sekali gus mudah mencetuskan salah faham dalam kalangan generasi muda.
“Golongan muda mudah terpengaruh dengan naratif sensasi. Jika perkara seperti ini tidak ditangani dengan baik, kita bimbang akan lahir generasi yang mula memandang serong atau memperlekeh tokoh-tokoh besar Islam akibat maklumat yang tidak sahih,” katanya.
Kefayatullah turut mempersoalkan sumber rujukan yang digunakan dalam ucapan berkenaan dan meminta pihak berkaitan memberikan penjelasan lanjut.
“Kita mahu tahu dari mana datangnya dakwaan itu. Adakah ia bersumberkan kitab muktabar Ahli Sunnah Wal Jamaah atau sekadar riwayat lemah dan tidak sahih,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menuntut umat Islam menjaga adab serta menghormati para sahabat Rasulullah SAW.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Agama Islam agar menjalankan siasatan segera terhadap isu berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat unsur penghinaan atau penyebaran fitnah.
“Kita tidak mahu masyarakat menjadi keliru dan hilang hormat terhadap para sahabat Nabi SAW akibat naratif yang tidak tepat. Semua pihak perlu lebih bertanggungjawab dalam setiap ucapan kerana ia memberi kesan besar kepada masyarakat,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
