Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket penipuan dalam talian antarabangsa berskala besar menerusi ‘Op Teguh 2.0’, yang membabitkan penahanan 187 individu serta rampasan aset bernilai RM57.68 juta.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, operasi khas berkenaan digerakkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman pada 6 hingga 7 Mei lalu.
“Sepanjang operasi dijalankan, sejumlah 46 serbuan telah dilaksanakan di beberapa premis kediaman termasuk kondominium mewah di sekitar Lembah Klang.
“Hasil operasi itu, seramai 187 individu merangkumi 151 lelaki dan 36 wanita dari pelbagai warganegara, berjaya ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti penipuan dalam talian rentas sempadan,” katanya pada sidamg media di Bukit Aman, hari ini.
Mohd Khalid berkata, tangkapan membabitkan warga China (129 individu), Malaysia (23 individu), Jepun (9 individu), Vietnam (8 individu), Indonesia (7 individu), Laos (4 individu), Thailand (3 individu) serta Filipina dan Myanmar (masing-masing 2 individu).
Mengulas lanjut mengenai kejayaan operasi itu, beliau berkata, PDRM turut menyita pelbagai aset dan harta yang dikaitkan dengan sindiket terbabit.
“Menerusi Op Teguh 2.0, JSJK berjaya merampas pelbagai aset dan harta dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah penipuan dalam talian dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM57.68 juta.
“Antara rampasan utama adalah tiga unit hartanah mewah bernilai RM38 juta, serta 20 kenderaan mewah termasuk jenama Rolls Royce Cullinan dan Mercedes Benz G Wagon dengan nilai keseluruhan RM6.58 juta.
“Kami juga merampas 67 unit barangan mewah seperti jam tangan, beg tangan, barang kemas, dompet dan gold bar bernilai RM12 juta,” katanya.
Menurutnya, pihak polis turut merampas 556 unit peranti digital bernilai RM552,000, serta wang tunai, mata wang asing, kad debit atau kredit dan aset mata wang kripto dengan nilai keseluruhan RM549,786.
Mohd Khalid turut mendedahkan siasatan mendapati sindiket berkenaan menjalankan aktiviti penipuan dengan menyasarkan mangsa dari pelbagai negara termasuk Hong Kong, China, Korea, dan Jepun.
“Antara modus operandi yang dikenal pasti adalah penipuan pelaburan tidak wujud yang menyasarkan warga Hong Kong dan China, serta ‘Phone Scam’ yang mana ahli sindiket menyamar sebagai pegawai polis Jepun menerusi aplikasi BRIA Mobile, Telegram dan Line.
“Selain itu, mereka turut memperdaya mangsa melalui ‘Love Scam’ dengan menyasarkan warganegara Korea dan Jepun, serta menjalankan perjudian dalam talian bagi menipu mangsa dan membuat transaksi kewangan haram,” katanya.
Katanya, semua tangkapan membabitkan 24 kertas siasatan yang disiasat di bawah Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan, Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997, serta Seksyen 44 (1) AMLATFPUA 2001.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket termasuk dalang utama, pengurusan kewangan serta hubungan jenayah rentas sempadan yang terlibat,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
