SANDAKAN: Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Vivian Wong Shir Yee mengadakan sesi dialog bersama kira-kira 50 pengusaha bas henti-henti di Sandakan bagi mendengar sendiri pandangan serta keluhan mereka berkaitan isu operasi pengangkutan awam.
Sesi itu memberi tumpuan kepada beberapa perkara termasuk proses penyambungan permit, kadar tambang dan kemudahan terminal demi memastikan sistem pengangkutan awam di daerah itu terus cekap, selamat dan mampan.
Vivian berkata, pihaknya mengambil serius setiap isu yang dibangkitkan terutama berkaitan proses pembaharuan permit yang didakwa rumit dan membebankan pengusaha.
Menurut beliau, LPKP Sabah akan berusaha mengurangkan beban pengusaha supaya mereka dapat meneruskan operasi dengan lancar memandangkan perkhidmatan bas henti-henti amat penting kepada masyarakat di Sandakan.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan isu kadar tambang bas yang tidak disemak sejak tahun 2009 telah dibawa kepada perhatian kementerian berkaitan. Katanya, peningkatan kos operasi dan tekanan inflasi ketika ini memerlukan satu kajian semula supaya kadar tambang lebih relevan serta mampu menampung kos pengusaha tanpa membebankan rakyat.
Vivian turut memaklumkan permohonan persatuan pengusaha bas untuk mengendalikan Terminal Bas Sandakan telah mendapat kelulusan pihak berkaitan bagi membantu melancarkan operasi dan pengurusan perkhidmatan bas di daerah itu. Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perpaduan Bas Henti-Henti Daerah Sandakan, Basir Abdul Muin berharap segala permohonan termasuk berkaitan permit, depo dan bantuan dana dapat dipertimbangkan sewajarnya.
Pengusaha bas turut berharap semua cadangan yang dikemukakan dipermudahkan demi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam terus dapat beroperasi dengan baik. – DAKWAT RAKYAT POST
