KINARUT: Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya melaksanakan 11 serbuan menerusi Operasi Bersepadu Intra/Inter Agensi atau Op Tiris Briged Sabah yang dijalankan di lapan daerah di Sabah pada 13 Mei lalu.
Operasi yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 6 petang itu dilaksanakan di Kota Kinabalu, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Kunak dan Lahad Datu.
Menurut kenyataan media Briged Sabah PGA, operasi bersepadu berkenaan dijalankan hasil maklumat risikan bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan seperti petrol, diesel, minyak masak dan lain-lain barang bersubsidi.
Operasi itu membabitkan kekuatan seramai 101 anggota dan pegawai, termasuk 76 pegawai serta anggota Briged Sabah PGA selain 25 pegawai dan anggota daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Hasil operasi tersebut membawa kepada penahanan 11 individu berusia antara 20 hingga 66 tahun membabitkan sembilan warga tempatan iaitu lapan lelaki dan seorang wanita serta dua lelaki warga asing.
Kesemua individu yang ditahan dilaporkan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM586,779.76 melibatkan diesel sebanyak 3,245 liter bernilai RM6,978.75, petrol 3,818 liter bernilai RM15,348.36, minyak masak sebanyak 1,062 peket bernilai RM2,655 dan tong gas LPG sebanyak 173 unit bernilai RM43,250.
Turut dirampas ialah 1,019 peket tepung bernilai RM3,566.50, gula pasir sebanyak 639 peket bernilai RM1,821.15, empat unit kenderaan dan bot bernilai RM447,000 serta lain-lain peralatan melibatkan 38 unit bernilai RM66,160.
Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah mengikut Peraturan 1974 Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1963.
Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Komander Briged Sabah Pasukan Gerakan Am, SAC Datuk Nor Omar Sappi berkata, pihaknya komited dan konsisten dalam membanteras aktiviti penyeludupan serta penyelewengan barang kawalan khususnya di Sabah.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti berkenaan supaya menyalurkannya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). – DAKWAT RAKYAT POST
Sumber rujukan: Media rasmi Briged Sabah PGA Official
