SEMPORNA: Kerajaan Sabah akan mempercepat pelaksanaan pembinaan tapak pelupusan sampah baharu di Semporna bagi menangani isu pengurusan sisa yang semakin kritikal di daerah pelancongan itu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, tapak pelupusan sedia ada kini tidak lagi mampu menampung peningkatan jumlah sisa susulan pertumbuhan penduduk serta perkembangan sektor pelancongan.
Menurutnya, kerajaan negeri sudah mengenal pasti tanah baharu bagi tujuan itu dan pelaksanaannya akan disegerakan sebaik proses berkaitan di peringkat Kementerian Kewangan selesai.
Beliau berkata, isu kebersihan termasuk sampah di laut dan darat turut menjadi fokus utama perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan.
Katanya, walaupun terdapat konsesi pembersihan di laut, usaha berkenaan masih tidak mencukupi dan perlu diperkukuhkan dengan penglibatan serta kesedaran masyarakat setempat terhadap kepentingan menjaga kebersihan.
“Isu sampah ini iaitu kita telah mendapat satu tanah untuk tempat pelupusan sampah dan ini akan kita laksanakan sebaik saja proses berkenaan selesai di peringkat Kementerian Kewangan dan perkara tersebut akan kita laksanakan segera kerana tempat pelupusan sampah yang ada sudah tidak memandai lagi.
“Yang kedua berhubung dengan masalah sampah di laut dan juga di darat seperti mana yang saya dapat makluman tadi dan di laut kita sudah ada konsesi mengutip sampah dan ini juga tidak memadai.
“Kita perlu seperti mana yang disebutkan oleh majlis tadi berhubung dengan kesedaran kempen untuk cinta kepada kebersihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Jelajah Aspirasi Menteri Tahun 2026 serta sesi taklimat bersama Majlis Daerah Semporna di daerah itu. – DAKWAT RAKYAT POST
