KOTA KINABALU: Aktivis politik, Atan Leecas menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan berhubung kes dana RM1.5 bilion yang pernah dikaitkan dengan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan proses keadilan berjalan secara telus, profesional dan bebas daripada sebarang persepsi konflik kepentingan.
Atan berkata, kes berkenaan sebelum ini diklasifikasikan sebagai “Tiada Tindakan Lanjut” (NFA) dan “Kes Untuk Simpan” (KUS) selepas pihak pendakwaan memutuskan bukti yang ada ketika itu tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan terhadap Mohd Shafie. Katanya, keputusan tersebut bagaimanapun masih menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat memandangkan ia membabitkan jumlah dana yang besar serta berkaitan pembangunan luar bandar Sabah.
“Jika alasan utama kes tidak diteruskan adalah kerana bukti tidak mencukupi, maka siasatan tambahan boleh dilakukan bagi melengkapkan bukti atau meneliti sekiranya terdapat fakta baharu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai persepsi awam terhadap kebebasan proses siasatan ketika itu susulan beberapa faktor politik yang berlaku selepas pertukaran kerajaan pada 2018.
Menurutnya, mahkamah adalah platform terbaik untuk menentukan sama ada sesuatu dakwaan mempunyai asas atau sebaliknya, sekali gus memberi ruang kepada mana-mana individu untuk membersihkan nama mereka melalui proses perundangan yang terbuka.Atan berkata, rakyat Sabah juga berhak mengetahui sama ada dana pembangunan luar bandar tersebut benar-benar disalurkan kepada golongan sasaran memandangkan negeri itu masih berdepan pelbagai isu asas termasuk kemiskinan, bekalan air, elektrik dan infrastruktur jalan raya.
Justeru, beliau berharap SPRM dapat mempertimbangkan untuk membuka semula fail siasatan secara bebas dan profesional demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan negara.
“Tiada siapa boleh mengatasi undang-undang dan kes melibatkan wang rakyat dalam jumlah besar sewajarnya diberikan penelitian semula demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
