SANDAKAN – Seorang lelaki berusia 32 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Sandakan hari ini atas empat pertuduhan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seksual.
Tiga daripada pertuduhan itu membabitkan remaja perempuan berusia antara 15 hingga 17 tahun, manakala satu lagi membabitkan seorang wanita warga Indonesia berusia 30 tahun.
Tertuduh, Chu Nyuk Sheng, dibawa ke hadapan Majistret Nur Faezah Jafry, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdagangkan semua mangsa bagi tujuan eksploitasi seksual di dua hotel berasingan di Sandakan pada 14 Mei lalu.
Bagi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 14(1) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, tertuduh berdepan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 12 akta sama pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Menurut fakta kes, polis menyerbu sebuah hotel selepas menerima maklumat risikan sebelum menyelamatkan tiga remaja perempuan yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seksual dan menahan tertuduh.
Mahkamah menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen. – DAKWAT RAKYAT POST
