KUNAK: Kemeriahan Aidiladha di daerah ini terus dirasai apabila seramai 100 kanak-kanak daripada keluarga B40 dan asnaf menyertai Program Khatan Perdana Peringkat Daerah Kunak yang diadakan secara percuma di Masjid Daerah Kunak, hari ini.
Program anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu itu bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan, malah menceriakan kanak-kanak yang menjalani proses berkhatan beramai-ramai bersama rakan sebaya.
Suasana program bertambah meriah apabila peserta diraikan dengan siraman air oleh anggota bomba sebelum memasuki dewan rawatan.
Anil berkata, program itu memasuki tahun keempat penganjurannya dan mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, pagi ini kita berjaya melaksanakan Program Khatan Perdana dengan penyertaan kira-kira 100 kanak-kanak.
“Pendaftaran dibuka hanya tiga jam dan kuota terus penuh, menunjukkan program seperti ini memang diperlukan terutama bagi membantu golongan B40,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Menurutnya, program itu mendapat kerjasama daripada pihak masjid, Hospital Kunak dan agensi kesihatan yang membantu menyediakan kelengkapan serta petugas perubatan.
Katanya, keseluruhan program ditaja sepenuhnya dengan kos kira-kira RM10,000 hasil sumbangan penaja dan pelbagai pihak yang tampil membantu menjayakan program berkenaan.
“Insya-Allah kalau ada rezeki lebih, tahun depan kita akan cuba tambah penyertaan kepada 150 peserta kerana masih ramai keluarga memerlukan bantuan seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Imam Rawatib Masjid PPR Kunak, Al Mumin Hassan berkata, program itu sangat membantu keluarga terutama dalam mengurangkan kos berkhatan anak-anak.
“Program seperti ini memang memudahkan rakyat sebab ada yang mampu dan ada yang tidak mampu untuk menanggung kos bersunat.
“Bila dibuat percuma, wang itu boleh digunakan untuk keperluan lain,” katanya yang membawa dua anak lelakinya menyertai program berkenaan.
Bagi suri rumah, Dayang Nurhika Talib, program itu memberi kelegaan kepada keluarga asnaf selain membuatkan kanak-kanak lebih berani kerana bersunat bersama rakan-rakan.
“Kalau ramai-ramai begini, budak-budak tidak takut sebab ada kawan. Terima kasih kepada Datuk Anil kerana membantu keluarga miskin seperti kami,” katanya.
Sementara itu, peserta khatan, Al Hapidz Abdullah, 11, mengakui pada awalnya berasa takut untuk bersunat namun pengalaman bersama rakan-rakan menjadikan suasana lebih menyeronokkan.
“Mula-mula takut juga, waktu masuk bilik sampai menggigil, tapi lepas siap rasa lega.
“Jangan takut bersunat sebab sebenarnya tidak sakit sangat,” katanya.
Seorang lagi peserta, Muhd Idrian Usman, 11, berkata dia pada mulanya menyangka proses berkhatan amat menyakitkan selepas mendengar cerita rakan-rakannya.
“Saya ingat sakit macam kena gigit harimau, tapi sebenarnya macam kena gigit semut saja,” katanya sambil ketawa.
