Jakarta: Malaysia dan Indonesia mencapai kemajuan dalam beberapa isu lama berkaitan sempadan darat dan maritim yang dijangka dibawa ke Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia bakal dianjurkan Malaysia untuk perbincangan lanjut.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan berkata perkara itu antara hasil perbincangan pada Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala Malaysia-Indonesia (JCBC) Ke-17 bersama rakan sejawatannya Sugiono di sini pada Khamis.
“Ada juga isu-isu lama perbatasan darat dan maritim yang saya yakin dan saya lihat di peringkat terakhir untuk kami bawa kepada perbincangan dan persetujuan kedua-dua pemimpin semasa rundingan tahunan nanti,” katanya pada sidang media bersama selepas mesyuarat itu.
Mohamad berkata secara keseluruhannya, JCBC Ke-17 mencapai persetujuan yang berpotensi memperkukuh lagi hubungan sedia ada antara Malaysia dan Indonesia.
Beliau berkata hubungan antara kedua-dua negara ketika ini berada pada tahap amat baik, dengan hanya beberapa isu tertunggak yang masih memerlukan perhatian kedua-dua pihak.
“Hubungan akrab dan baik antara kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia saya anggap dah 98 peratus baik. Dua peratus itu adalah isu-isu, simpul-simpul yang saya sebutkan perlu kita lakukan,” katanya.
Mohamad berkata kebajikan dan akses pendidikan rakyat Indonesia yang tinggal dan bekerja di Malaysia turut dibincangkan dalam mesyuarat itu.
“Bagi kami, hak pelajaran ialah hak manusia di bawah konvensyen antarabangsa,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Indonesia turut mencadangkan supaya peluang pekerjaan untuk rakyat negara itu di Malaysia diperluas ke sektor-sektor lain yang memerlukan tenaga kerja, khususnya sektor perawatan.
“Itu akan kami bincangkan di peringkat kami kerana ia di luar bidang kementerian luar, ia di bawah kementerian kesihatan. Tetapi saya berkeyakinan bahawa itu satu cadangan yang baik untuk kita juga kebaikan kepada industri kesihatan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Mohamad berkata Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto dijangka dianjurkan antara Ogos dan penghujung tahun ini. – BERNAMA
