KOTA KINABALU, 2 September 2026 – Rakyat Sabah diminta tidak memandang ringan keadaan jerebu yang semakin ketara di beberapa kawasan susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal berkata, orang ramai perlu meningkatkan langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko kesihatan, khususnya ketika melakukan aktiviti di luar rumah.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan selain sentiasa mengikuti perkembangan, amaran dan arahan semasa yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“Rakyat perlu sentiasa berjaga-jaga dan mengambil langkah sewajarnya susulan keadaan jerebu yang melanda Sabah.
“Patuhi SOP kesihatan, kurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan tidak mengizinkan dan sentiasa pantau amaran serta arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Rina, perhatian lebih perlu diberikan kepada golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan sepanjang tempoh jerebu.
Katanya, ibu bapa dan penjaga juga perlu memantau keadaan kesihatan anak-anak serta mengehadkan aktiviti luar sekiranya bacaan IPU meningkat ke paras tidak sihat.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri telah mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri dan PKOB di peringkat daerah bagi Kota Kinabalu, Keningau serta Papar susulan bacaan IPU yang menghampiri paras 200.
Setakat jam 5 petang Selasa, Kota Kinabalu mencatatkan bacaan IPU 177, diikuti Keningau 165, Kimanis dan Papar masing-masing 166, manakala Tawau serta Politeknik Kota Kinabalu masing-masing merekodkan 153.
Kesemua kawasan terbabit berada pada tahap tidak sihat.
Peningkatan bacaan IPU berkenaan dipercayai dipengaruhi pergerakan angin yang menghala ke Sabah dan keadaan itu dijangka berterusan sekiranya tiada hujan berlaku di Kalimantan.
Rina turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menunggu keadaan menjadi lebih buruk sebelum mengambil langkah berjaga-jaga.
Sebaliknya, katanya, masyarakat perlu sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada sumber rasmi dan mengikuti arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan serta kesihatan masing-masing terus terjamin.
“Jangan ambil mudah keadaan ini. Sentiasa peka dengan bacaan IPU dan ikuti setiap amaran serta arahan pihak berkuasa.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat terus terpelihara,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
