TAWAU, 7 Jun 2026 – Pulau Sebatik mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai hab pelancongan berasaskan aktiviti memancing bertaraf negeri, sekali gus mampu menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar Sabah.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik yang juga Penganjur Pertandingan Memancing Terbuka Pulau Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho berkata, kedudukan unik Pulau Sebatik yang berkongsi sempadan dengan Indonesia memberi kelebihan tersendiri untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan berasaskan memancing dan rekreasi di negeri ini.
Menurut beliau, Pertandingan Memancing Terbuka Pulau Sebatik yang berlangsung pada Ahad berjaya menarik kira-kira 200 peserta, sekali gus menjadi penganjuran terbesar setakat ini.
Katanya, penyertaan bukan sahaja membabitkan pemancing dari Pulau Sebatik, malah turut disertai peserta dari kawasan lain termasuk Tanjung Batu dan Merotai.
“Sambutan yang diterima membuktikan aktiviti memancing mempunyai potensi besar untuk dijadikan produk pelancongan baharu di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Memancing Terbuka Pulau Sebatik yang berlangsung di Jeti Mentadak Baru, Pulau Sebatik.
Menurut Abdul Muis, Pulau Sebatik mempunyai keunikan tersendiri kerana menjadi satu-satunya pulau di Malaysia yang dikongsi oleh dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.
“Pulau Sebatik ini memang mempunyai potensi untuk dijadikan hab memancing bagi seluruh Sabah. Keunikannya sebagai pulau yang dikongsi oleh Malaysia dan Indonesia mampu menjadi tarikan tersendiri kepada pemancing dan pelancong.
“Apa yang penting, pemimpin serta pihak berkaitan perlu memastikan kemudahan dan prasarana yang mencukupi disediakan bagi keselesaan peserta dan pengunjung yang datang bukan sahaja dari Sabah, malah dari Semenanjung Malaysia,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan menyediakan kemudahan penginapan seperti homestay yang selesa bagi menarik lebih ramai pelancong dan pemancing untuk berkunjung ke Pulau Sebatik.
Dalam pada itu, Abdul Muis mencadangkan pembangunan bandar sempadan di kawasan Sungai Melayu yang disifatkan mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan setempat.
Katanya, kedudukan strategik Pulau Sebatik yang berkongsi sempadan dengan Indonesia memberi kelebihan besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan dan perdagangan rentas sempadan pada masa hadapan.
Beliau yakin pembangunan yang terancang serta penyediaan infrastruktur yang lebih baik mampu menjadikan Pulau Sebatik sebagai antara destinasi memancing utama di Sabah. – DAKWAT RAKYAT POST
