KOTA MARUDU – Pertubuhan Pembangunan Ekonomi Kota Marudu (PERKOM) komited memperkukuh pembangunan ekonomi daerah itu menerusi pendekatan lebih strategik dengan menumpukan kepada peningkatan taraf hidup rakyat selaras aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Pengerusinya, Dato’ Dr. Janathan Kandok berkata, setiap inisiatif yang digerakkan perlu memberi impak ekonomi yang nyata kepada masyarakat serta menterjemahkan agenda pembangunan negeri kepada manfaat yang boleh dirasai secara langsung oleh rakyat.
Menurut beliau, antara fokus utama PERKOM adalah membantu kerajaan negeri memperluaskan kefahaman masyarakat terhadap Hala Tuju SMJ supaya lebih ramai rakyat bersedia mengambil peluang dan terlibat secara aktif dalam pelbagai inisiatif pembangunan.
“Menjadi keutamaan kita untuk memastikan rakyat memahami sepenuhnya matlamat SMJ. Apabila rakyat faham, mereka akan lebih bersedia untuk melibatkan diri secara aktif. Ini bukan sahaja membantu kerajaan melaksanakan dasar pembangunan, malah memastikan kemakmuran dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas usaha memperkukuh pembangunan ekonomi setempat dan memperluaskan penyertaan komuniti dalam agenda pembangunan negeri.
Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak supaya bergerak sebagai satu pasukan dengan meletakkan agenda rakyat sebagai keutamaan serta memastikan maklumat berkaitan bantuan, peluang ekonomi dan program pembangunan kerajaan sampai ke setiap lapisan masyarakat termasuk kawasan luar bandar.
Mengulas potensi ekonomi baharu, Dato’ Dr. Janathan berkata kekayaan budaya dan identiti etnik di Kota Marudu perlu diangkat sebagai sumber ekonomi kreatif yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan industri desa.
Katanya, keunikan warisan, seni budaya dan produk tradisional tempatan mempunyai nilai komersial yang tinggi sekiranya diperkasakan melalui pendekatan kreatif, inovatif dan berorientasikan pasaran.
“Kebudayaan bukan sekadar warisan yang perlu dipelihara, tetapi juga aset ekonomi bernilai tinggi yang boleh menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan dan taraf hidup rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, PERKOM akan terus menyokong usaha kerajaan melalui pelaksanaan latihan kemahiran kepada pengusaha tempatan, memperkukuh pemasaran digital produk budaya serta membina rantaian nilai yang lebih mampan bagi sektor pelancongan dan keusahawanan tempatan.
Beliau turut menggalakkan golongan belia dan usahawan di Kota Marudu untuk merebut peluang dalam sektor ekonomi kreatif serta memanfaatkan dasar pembangunan inklusif di bawah SMJ bagi membina ekonomi yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing.
Menurut beliau, dengan kerjasama semua pihak serta penglibatan aktif masyarakat, budaya etnik Kota Marudu berpotensi menjadi identiti ekonomi baharu yang mampu mengangkat nama daerah dan negeri Sabah ke peringkat lebih tinggi.
