KOTA MARUDU, 14 Jun 2026 – Pemimpin wanita di peringkat akar umbi disaran agar terus memperkukuh ilmu pengetahuan, meningkatkan keupayaan mengurus maklumat serta membina hubungan yang lebih erat dengan masyarakat dalam usaha memperkasakan kepimpinan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Dr Ramzah Dambul berkata, pemimpin wanita juga perlu mengamalkan sikap rendah diri dan mempunyai nilai empati yang tinggi supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
Beliau menyampaikan perkara itu ketika mewakili Pengerusi IDS, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, pada Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Memperkasa Kepimpinan Wanita Sabah Siri 3 yang berlangsung di Kota Marudu, kelmarin.
Menurutnya, bengkel anjuran Women Leadership Initiative Committee (WLIC) di bawah IDS itu menjadi platform penting dalam usaha memperkukuh keupayaan kepimpinan wanita, khususnya mereka yang berperanan di peringkat komuniti.
Katanya, pemimpin wanita perlu sentiasa bersedia meningkatkan pengetahuan dan kemahiran menerusi penyertaan dalam kursus, bengkel serta pelbagai program pembangunan diri.
“Ilmu pengetahuan amat penting dalam membentuk pemimpin yang berkualiti. Namun, ilmu perlu disertai dengan akhlak yang baik dan adab yang tinggi agar kepimpinan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan kebolehan menilai kesahihan sesuatu maklumat sebelum sebarang keputusan atau tindakan dibuat.
Menurutnya, pemimpin perlu memastikan setiap maklumat yang diterima ditapis dan disemak terlebih dahulu supaya tindakan yang diambil berasaskan fakta yang tepat serta boleh dipercayai.
Dalam pada itu, beliau berkata hubungan yang rapat antara pemimpin dan masyarakat setempat juga memainkan peranan penting dalam membina kepercayaan rakyat.
“Pemimpin yang sentiasa mendekati masyarakat, memahami masalah mereka dan prihatin terhadap keperluan komuniti akan lebih mudah mendapat keyakinan serta sokongan daripada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, sikap rendah diri dan kesederhanaan juga merupakan ciri kepimpinan yang perlu diterapkan kerana pemimpin yang mudah didekati lazimnya lebih dihormati berbanding mereka yang bersikap angkuh dan mementingkan diri sendiri.
Mengulas mengenai aspek empati, beliau menjelaskan bahawa pemimpin perlu berupaya memahami situasi serta cabaran yang dihadapi oleh masyarakat supaya penyelesaian yang dirangka benar-benar memenuhi keperluan rakyat.
“Empati bukan sekadar bersimpati terhadap kesusahan orang lain, sebaliknya keupayaan untuk memahami pengalaman yang dilalui oleh mereka,” katanya.
Beliau yakin gabungan lima elemen utama iaitu ilmu pengetahuan, penguasaan maklumat, hubungan baik dengan komuniti, sikap rendah diri dan nilai empati mampu melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang berwibawa serta berupaya membawa perubahan positif kepada masyarakat.
Sepanjang bengkel tersebut, peserta turut mengikuti sesi perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Pengurus Dal’s Services, Awang Amdan SM Darus menerusi ceramah bertajuk Modul Penulisan Dokumen Rasmi Laporan.
Selain itu, Penyelidik Bersekutu IDS, Zainald Zainuddin turut berkongsi pandangan berkaitan penghasilan konten media sosial yang berkesan untuk pemimpin wanita di peringkat akar umbi.
Bengkel Memperkasa Kepimpinan Wanita Sabah Siri 3 merupakan kesinambungan kepada program pembangunan kepimpinan wanita yang sebelum ini telah dilaksanakan di Kota Kinabalu dan Keningau, dengan matlamat memperkukuh kapasiti serta peranan wanita dalam kepimpinan komuniti di seluruh Sabah. – DAKWAT RAKYAT POST
