TEMERLOH: Dua lelaki ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kejadian pecah masuk sebuah kedai runcit di Taman Perindustrian Temerloh, Mentakab, pada 9 November lalu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Nasyim bin Bahron berkata, kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Mentakab kira-kira jam 5.15 pagi selepas menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan.
Menurutnya, suspek pertama ditahan di bahagian belakang kedai bersama peralatan dipercayai digunakan untuk memecah masuk premis, manakala suspek kedua ditahan di dalam kedai bersama barangan curi yang disembunyikan di belakang pintu.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas sebuah pemotong besi jenama Navato, sebuah topeng muka berwarna hitam, 58 karton rokok, 117 kotak rokok pelbagai jenama serta dua kotak peranti rokok elektronik.
“Sejumlah wang turut dirampas dan anggaran kerugian keseluruhan dalam kejadian itu adalah RM5,000,” katanya.
Beliau berkata, hasil penahanan kedua-dua suspek membolehkan pihak polis menyelesaikan tiga kes pecah rumah dan kedai yang dilaporkan berlaku di sekitar Mentakab antara Oktober hingga November 2026.
Semakan turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai masing-masing tiga rekod jenayah lampau.
Katanya, kedua-dua suspek masih dalam tahanan reman sehingga 14 November ini bagi membantu siasatan.
Kertas siasatan juga telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan selanjutnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.-DAKWAT RAKYAT POST
