KOTA KINABALU, 14 Jun 2026 – Pemasyhuran Rizab Biosfera Kinabatangan sebagai rizab biosfera kedua di Sabah selepas Rizab Biosfera Banjaran Crocker disifatkan sebagai satu pencapaian besar yang membanggakan negeri ini serta Malaysia di persada antarabangsa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pengiktirafan yang diberikan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun lalu membuktikan bahawa kawasan Kinabatangan memiliki nilai biodiversiti dan kepentingan ekologi yang tinggi.
Menurut beliau, landskap Kinabatangan yang meliputi kawasan seluas kira-kira 413,866 hektar mempunyai keunikan tersendiri yang menjadikannya penting dari sudut pemuliharaan alam sekitar di peringkat global.
“Pengiktirafan ini merupakan satu lagi kejayaan penting dalam usaha berterusan Sabah untuk memastikan kelestarian alam sekitar dan biodiversiti terus dipelihara.
“Dengan status bertaraf dunia ini, Rizab Biosfera Kinabatangan berpotensi menjadi tumpuan dalam bidang penyelidikan, pendidikan, pelancongan berasaskan alam semula jadi serta membuka ruang kepada kerjasama antarabangsa yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-12 Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Pemasyhuran Rizab Biosfera Kinabatangan di Padang Merdeka, di sini, pada Ahad.
Hajiji berkata, Rizab Biosfera Banjaran Crocker yang diiktiraf UNESCO pada 2014 turut memainkan peranan penting kepada pembangunan mampan Sabah.
Katanya, kawasan seluas 350,584 hektar itu melibatkan hampir 400 kampung di 10 daerah iaitu Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Ranau, Tambunan, Keningau, Tenom, Beaufort, Papar dan Membakut, dengan lebih sejuta penduduk tinggal dalam kawasan rizab biosfera berkenaan.
Beliau berkata, pengiktirafan terhadap Rizab Biosfera Banjaran Crocker turut menyumbang kepada status Sabah sebagai negeri yang memiliki tapak Triple Crown UNESCO Sites.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar terus memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti, memperluaskan program kesedaran awam serta meningkatkan kerjasama strategik supaya manfaat daripada pengiktirafan tersebut dapat dinikmati secara mampan oleh masyarakat.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa komited dalam melindungi dan memulihara alam semula jadi kerana ekosistem yang sihat amat penting untuk kesejahteraan rakyat serta pembangunan sosioekonomi negeri.
“Kewujudan kedua-dua rizab biosfera ini juga selari dengan aspirasi Inisiatif Sabah Maju Jaya. Usaha konservasi ekosistem penting di Sabah akan terus diperkasakan menerusi pelaksanaan Sabah Maju Jaya 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030,” katanya.
Hajiji berkata, Sabah kini berada di barisan hadapan dalam aspek perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti.
Beliau berkata, negeri ini telah lama mengambil langkah proaktif melindungi kawasan hutan, hidupan liar dan ekosistem yang kaya dengan kepelbagaian biologi.
“Pada masa ini, hampir 30 peratus kawasan daratan Sabah telah diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA).
“Kita juga bertekad untuk terus memperkukuh peranan Sabah sebagai penyerap karbon, termasuk menerusi Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Rizab Biosfera Kinabatangan,” katanya.
Menurut beliau, Sabah kekal sebagai penyerap karbon bersih utama negara dengan menyumbang kira-kira 36 peratus daripada jumlah pengasingan karbon Malaysia melalui keluasan hutan tropikanya.
Beliau menegaskan bahawa rizab biosfera memainkan peranan penting dalam menangani perubahan iklim kerana berfungsi sebagai penyerap karbon semula jadi.
Katanya, Rizab Biosfera Banjaran Crocker memberi tumpuan kepada perlindungan ekosistem pergunungan dan hutan bagi memelihara spesies flora serta fauna unik, selain menyokong fungsi kawasan tadahan air.
Sementara itu, Rizab Biosfera Kinabatangan pula melibatkan pemuliharaan ekosistem sungai dan tanah lembap yang menjadi habitat penting kepada pelbagai spesies hidupan liar serta membantu mengekalkan kualiti sumber air.
“Hutan yang dipelihara dan diberi ruang untuk pulih secara semula jadi mampu menyimpan karbon untuk tempoh yang panjang,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, kewujudan rizab biosfera turut memberi manfaat kepada ekonomi setempat melalui pelaksanaan aktiviti yang berasaskan kelestarian.
Menurutnya, komuniti yang tinggal di kawasan Banjaran Crocker dan Kinabatangan berpeluang menjana pendapatan menerusi sektor pelancongan mampan, termasuk pengendalian homestay dan perusahaan komuniti.
“Apabila masyarakat memperoleh manfaat ekonomi daripada usaha pemuliharaan, mereka akan lebih terdorong untuk terus melindungi hutan dan hidupan liar kerana alam sekitar menjadi sumber pendapatan yang berkekalan.
“Oleh itu, kita perlu memastikan pengiktirafan terhadap kedua-dua rizab biosfera ini dapat membawa limpahan manfaat ekonomi kepada semua lapisan masyarakat yang mendiami kawasan terbabit,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
