TUARAN, 16 Jun 2026 – Sabah berjaya mencapai sifar Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar daripada jumlah yang dikunci pada Januari 2026 membabitkan seramai 10,825 KIR.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, berdasarkan data eKasih sehingga 31 Mei 2026, kesemua KIR miskin tegar yang direkodkan pada awal tahun ini telah berjaya dikeluarkan daripada kategori berkenaan hasil pelaksanaan pelbagai intervensi bantuan secara bersepadu oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, kejayaan itu membuktikan bahawa pendekatan berasaskan data, penyelarasan bantuan melalui sistem Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) dan eKasih serta pelaksanaan bantuan secara bersasar telah memberikan impak positif kepada golongan yang memerlukan.
“Bagaimanapun, pencapaian ini bukanlah noktah kepada perjuangan kita kerana masih terdapat rakyat yang memerlukan perhatian dan bantuan.
“Berdasarkan data eKasih sehingga 31 Mei 2026, seramai 57,710 Ketua Isi Rumah masih berada dalam kategori miskin berbanding 70,298 KIR pada Januari 2026, iaitu penurunan sebanyak 17.9 peratus dalam tempoh empat bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program Outreach Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) peringkat daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman, di sini, pada Selasa.
Hajiji berkata, jumlah keseluruhan individu yang berada dalam kategori miskin turut menunjukkan penurunan yang ketara.
Katanya, bilangan Ketua Isi Rumah dan Ahli Isi Rumah yang dikategorikan sebagai miskin berkurangan daripada 743,939 orang pada Januari 2026 kepada 577,110 orang pada Mei 2026.
Beliau berkata, berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar insiden kemiskinan mutlak di Sabah menurun daripada 19.7 peratus pada 2022 kepada 17.7 peratus pada 2024.
Selain itu, insiden kemiskinan tegar turut mencatatkan penurunan apabila direkodkan pada kadar 1.2 peratus pada tahun 2022 sebelum berkurang kepada 0.7 peratus pada tahun 2024, iaitu pengurangan sebanyak 0.5 peratus.
“Walaupun Sabah masih merekodkan kadar kemiskinan mutlak dan miskin tegar tertinggi di Malaysia, penurunan kadar insiden ini menunjukkan bahawa pelbagai dasar serta program pembangunan yang dilaksanakan kerajaan mula membuahkan hasil,” katanya.
Hajiji berkata, kejayaan mencapai sifar miskin tegar pada tahun ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha Sabah merealisasikan sasaran pembangunan sosial yang lebih inklusif.
Namun, menurut beliau, cabaran yang masih perlu diberi perhatian adalah mengurangkan kadar kemiskinan negeri yang masih tinggi berbanding negeri-negeri lain.
“Sehubungan itu, Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 menetapkan hala tuju yang jelas untuk mengurangkan insiden kemiskinan secara berperingkat sehingga menghampiri kadar nasional menjelang tahun 2030 melalui pelaksanaan program pembangunan yang lebih bersasar, berimpak tinggi dan mampan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan kadar insiden kemiskinan mutlak Sabah dapat dikurangkan kepada sekitar tiga hingga lima peratus, manakala kadar miskin tegar diturunkan kepada antara sifar hingga 0.1 peratus menjelang 2030.
Bagi mencapai matlamat itu, katanya, Program Menoktahkan Kemiskinan dan Miskin Tegar Negeri Sabah akan terus diperkasakan dengan memberi tumpuan kepada penyediaan rumah mampu milik, pembangunan modal insan, penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, pembangunan ekonomi luar bandar serta bantuan kewangan yang disalurkan secara bersasar.
Tambah beliau, pendekatan berkenaan selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh seluruh rakyat tanpa mengira lokasi, latar belakang serta status ekonomi.
Dalam pada itu, Hajiji berkata usaha membasmi kemiskinan tegar di Sabah dilaksanakan menerusi lima intervensi utama yang disasarkan kepada golongan miskin tegar.
Katanya, intervensi pertama ialah bantuan perumahan menerusi Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya, diikuti bantuan peluang pekerjaan melalui Program MySMJ Kerja.
“Intervensi ketiga melibatkan bantuan pendidikan modal insan melalui penyediaan 14 jenis bantuan pendidikan termasuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah serta bantuan daripada Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
“Intervensi keempat pula ialah bantuan kebajikan yang memberi tumpuan kepada golongan tidak produktif seperti warga emas, pesakit terlantar dan orang kurang upaya (OKU), manakala intervensi kelima melibatkan bantuan keusahawanan dan peningkatan ekonomi melalui program seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Sejahtera MADANI,” katanya.
Hajiji menegaskan bahawa agenda pembasmian kemiskinan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam usaha memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan.
“Ini adalah tekad kerajaan negeri bagi memastikan setiap rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera. Usaha ini telah dilaksanakan menerusi Pelan Pembangunan SMJ 1.0 dan kini diteruskan melalui Pelan Pembangunan SMJ 2.0,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
